Followers

Saturday 5 January 2013

UTM, MIT bakal bangunkan sistem pengajaran Blossoms



Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal menjalin kerjasama dengan Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat bagi membentuk sistem Blossoms, sistem pengajaran bercampur Sains dan Matematik.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zaini Ujang (gambar), berkata Blossoms yang akan mengambil masa lima tahun untuk dibangunkan, bertujuan mewujudkan sistem pengajian dan pelajaran yang berkesan serta menyeronokkan untuk mempelajari kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

RM10j tampung kos
Seramai 100 guru sekolah menengah terpilih dari seluruh negara juga berpeluang mengikuti program berkenaan dalam usaha memupuk minat dan kefahaman pelajar dalam subjek Sains dan Matematik," Dr Zaini Ujang, Naib Canselor UTM.

Katanya, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi menampung kos program terbabit yang akan membabitkan 20 tenaga pengajar UTM, terdiri daripada 10 pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PHD) dan 10 pelajar pasca kedoktoran.

“Selain itu, seramai 100 guru sekolah menengah terpilih dari seluruh negara juga berpeluang mengikuti program berkenaan dalam usaha memupuk minat dan kefahaman pelajar dalam subjek Sains dan Matematik,” katanya.

Kerjasama itu juga antara lain bagi menunjukkan hubungan penggunaan kedua-dua subjek berkenaan dengan realiti, selain membentuk pemikiran kritis berbanding kaedah menghafal sebelum ini, selain memperkenalkan penggunaan teknologi terkini sebagai satu alat bantuan pengajaran yang lebih berkesan kepada guru di bilik darjah.

Kaedah lebih menarik 

“Jika dulu sistem pembelajaran hanya menekankan satu kaedah pada satu-satu masa, projek ini diharapkan dapat membentuk kaedah pengajian lebih menarik dan komprehensif. Kami mahu pelajar seronok mempelajari kedua-dua subjek penting berkenaan, bukan berasa tertekan ketika belajar.

“Kami mahu menggalakkan guru menggunakan pendekatan aktif dan berkesan seperti kaedah penyelesaian masalah berbanding proses pengajaran berbentuk syarahan dalam kelas. Dengan program seumpama ini, diharap ia bukan saja melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang, malah dapat memahami kedua-dua subjek terbabit dengan lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, UTM menyasarkan menjalin kerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 universiti asing tahun ini bagi menjadikan UTM universiti berkelas dunia, selain dapat berkongsi kepakaran dan ilmu baru.

Katanya, UTM sudah mengadakan pelbagai program usaha sama dengan 225 universiti di seluruh dunia membabitkan pelbagai bidang dan disiplin ilmu seperti Sains, Matematik, teknologi dan inovasi selain penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Sumber : Berita Harian 06/01/2013

No comments:

Post a Comment