Followers

Thursday 3 January 2013

Denda rasuah diploma



Kuala Lumpur: Bekas pensyarah sebuah universiti swasta dihukum penjara dua bulan dan didenda RM10,000 selepas mengaku salah menerima rasuah daripada pelajarnya membabitkan pemberian diploma kulinari bernilai RM3,000, Julai tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Elmy Shadzly Wahi, 41, dan turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu, berkuat kuasa semalam.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh yang kini bekerja sebagai jururunding di sebuah syarikat swasta didakwa memperoleh rasuah wang tunai RM1,500 menerusi akaun Maybank, Muhammad Asrull Aizat Solehan sebagai balasan kepada pelajarnya itu mendapatkan diploma kulinari tanpa perlu menghadiri kuliah dan peperiksaan.


Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai pensyarah di Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU), didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Dataran Maybank Bangsar, Nombor 1, Jalan Maarof di sini, jam 3.30 petang, 13 Julai 2012.

Bagi tuduhan kedua, Elmy Shadzly didakwa cuba mendapatkan RM1,500 untuk tujuan sama di Jalan Sri Ehsan 2, Taman Perindustrian Sri Ehsan di sini, jam 8.30 malam, pada 16 Julai 2012.

Sumber : Berita Harian 04/01/2013

No comments:

Post a Comment