Followers

Wednesday 9 January 2013

Semua sekolah dibuka semula



RANTAU PANJANG – Kesemua tiga sekolah menengah dan sebuah sekolah di Pasir Mas yang ditutup, setelah dinaiki air serta jalan utama ke sekolah dinaiki air, telah pun dibuka.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, kesemua sekolah terlibat memulakan sesi pembelajaran semalam setelah air di sekolah terlibat mulai surut.

“Kesemua sekolah terlibat banjir memulakan sesi persekolahan setelah air surut dan jalan ke sekolah juga sudah boleh dilalui,” katanya.

Sebelum ini. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan (SABK) Kerajaan Diniah, Bonggor, SABK Al-Falah, Siram dan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang terpaksa di tutup.

Penutupan sekolah ini menyebabkan 1998 pelajar daripada empat sekolah di Pasir Mas tidak dapat ke sekolah.

Hussain sebelum ini, memaklumkan sekolah ditutup akibat banjir perlu menggantikannya sebaik banjir pulih seperti sediakala. Tinjauan mendapati pekarangan sekolah terlibat masih berlumpur, sementara sesi persekolahan di sekolah terlibat berjalan lancar.

Sementara itu seorang bapa, Mohd Asli Adam, 43, dari Kampung Lanchang berkata, hari ini merupakan hari pertama persekolahan anak sulungnya bagi sesi 2013.

Menurutnya, Nurul Zulaika Suhaida, 14, tidak dapat ke sekolah sejak pelajar lain memulakan persekolahan 1 Januari lalu memandangkan sekolah itu tidak dapat dihubungkan dengan kawasan sekitar.

“Saya gembira anak sulung dapat memulakan persekolahan setelah tidak dapat ke sekolah akibat banjir sejak seminggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber : Sinar Harian 09/01/2013

Sisipan eLab, ADaP patuhi Pentaksiran Berasaskan Sekolah



KUALA LUMPUR 7 Jan. - Sisipan pendidikan Utusan Malaysia, eLab dan ADaP bagi edisi tahun ini akan dilengkapi dengan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang mematuhi keperluan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada 2011 dan di sekolah menengah mulai tahun lalu, justeru isi kandungan baharu yang disediakan dalam sisipan pendidikan itu sesuai dijadikan bahan rujukan atau alat bantu mengajar.

Sisipan pendidikan berbahasa Inggeris e-Lab akan diterbitkan pada setiap hari Selasa bermula esok diikuti dengan ADaP sekolah rendah pada Rabu dan ADaP sekolah menengah pula pada Khamis.

Bahan P&P yang disediakan oleh guru pakar dan jurulatih utama dalam sisipan pendidikan itu, menepati keperluan guru dan pelajar khususnya calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Format bahan P&P masih dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris tetapi dipersembahkan secara lebih menarik dan berfokus.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.adap.com.my.


Sumber : Utusan Malaysia 08/01/2013

Tuesday 8 January 2013

Bantu pembelajaran pelajar di luar bandar



PERJALANAN ke Sekolah Kebangsaan Ladang Mutiara (SKLM), Kluang, Johor bukan calang-calang. Jarak antara bandar Kluang ke sekolah yang terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit itu kira-kira 60 kilometer.

Selepas melalui Felda Nitar dengan jalan yang agak baik, laluan tidak berturap terpaksa dilalui. Keadaan jalan yang sempit dan berlubang-lubang pasti menjadi cabaran bukan sedikit.

"Jika hari hujan, jalan berlecak sehingga susah untuk kereta bergerak manakala waktu panas terik pula, keadaan laluan berdebu," kata Hishamuddin Salim, 33, yang telah hampir sedekad berkhidmat sebagai guru di sekolah itu.

Guru-guru SKLM seperti Hishamuddin dan guru besar, Ali Udon, 55, yang tinggal di Kluang atau Kahang terpaksa keluar seawal pukul 6 pagi kerana perjalanan memakan masa lebih sejam.

Hujan lebat bukan sahaja menjadikan jalan berlecak tetapi air kerap naik membanjiri laluan menyebabkan ada guru terhalang untuk datang ke sekolah.

Lebih parah apabila sekolah yang mendapatkan bekalan elektrik menggunakan janakuasa terpaksa belajar tanpa kipas angin kerana bekalan minyak diesel tidak dapat dihantar.

Bagi Shahrul Semangar, 14, kanak-kanak Orang Asli dari Kampung Pucoh wajib bangun seawal pukul 5 pagi, untuk bersiap-siap ke sekolah dengan menaiki van kira-kira pukul 6 pagi dan tiba tepat pukul 7 pagi.

"Di sekolah saya boleh belajar, dapat berjumpa dengan rakan-rakan dan bermain bola sepak bersama-sama kawan-kawan," kata Shahrul ringkas ketika ditemui di SKLM, Kluang awal bulan November lalu.

Shahrul merupakan pelajar pendidikan khas di SKLM bersama Shaharil Rosli, 12, dan adiknya, Rizal, 8, juga berasal dari kampung yang sama.

Adik-beradik itu kelihatan pemalu apabila didekati untuk bertanyakan nama, mereka menjawab dengan suara yang perlahan.

Mereka menjawab soalan dengan cara menggerakkan kepala sama ada menggeleng atau mengangguk. Barangkali, kedua-duanya berasa takut atau malu dengan orang luar.

Pastinya, mereka serta-merta mengangguk kepala apabila ditanya mengenai keseronokan berjumpa dan belajar bersama rakan-rakan di sekolah.

Menurut penyelaras pendidikan khas SKLM, Rosinabi Hussein, 33, rutin harian pelajar pendidikan khas bermula dengan sesi mandi pagi di sekolah.

Terdapat pelajar yang terpaksa bangun seawal 4 pagi untuk ke sekolah. Mereka menempuh perjalanan panjang termasuk merentas kawasan yang mungkin mengotorkan mereka.


SISTEM solar hibrid di Sekolah Kebangsaan Ladang Mutiara, Kluang, Johor dibangunkan dengan kos sebanyak RM3 juta.

Perjalanan jauh itu juga membuatkan mereka berpeluh. Maka, sesi mandi pagi di sekolah perlu sebelum kelas bermula bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan segar.

Kemahiran

Selain pembelajaran akademik, kelas pendidikan khas SKLM turut memberi tunjuk ajar dalam bidang kemahiran seperti perniagaan.

"Pelajar akan membuat dadih sendiri pada setiap hari. Kemudian, mereka akan jual dadih pelajar lain," terang Rosinabi.

Tambahnya, hampir keseluruhan pelajar pendidikan khas di situ seramai sembilan orang terdiri daripada pelajar lembam.

Suasana bilik darjah pendidikan khas berlainan sedikit kerana lebih interaktif dan menarik dengan penggunaan objek serta warna yang pelbagai.

"Komputer barangkali tidak memudahkan proses pembelajaran pelajar tetapi dapat menarik perhatian dan minat mereka untuk belajar," katanya yang dibantu dua orang guru lain dan seorang pembantu pengurusan murid (PPM).

Keperluan bekalan elektrik dalam bidang pendidikan bukan setakat menghidupkan lampu dan memusingkan kipas tetapi alat bantu pembelajaran seperti komputer amat memerlukannya.

Ketika SKLM mula-mula dibuka pada tahun 2000, sekolah tersebut menerima tenaga elektrik dari ladang kelapa sawit berdekatan, jadi bekalan hanya diterima pada waktu pejabat dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Sekolah itu hanya menerima generator sendiri pada tahun 2004 tetapi kata Hishamuddin, elektrik yang dijana tidak stabil dan masalah kehabisan minyak sering berlaku terutamanya apabila laluan masuk dilimpahi air bah.

Gangguan tenaga elektrik merupakan perkara biasa dan paling lama para pelajar SKLM pernah terputus bekalan kira-kira dua minggu disebabkan banjir besar di Johor sedikit masa
lalu.

TNB Energy Services Sdn. Bhd. akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan setiap tiga bulan sekali.

Apabila penalaan komponen penukar arus terus kepada arus ulang-alik generator, rectifier tiba-tiba menjadi huru-hara, maka lebihan beban bekalan berlaku menyebabkan komputer, mentol dan banyak lagi barangan elektrik rosak.

Hishamuddin yang mengajar di situ sejak tahun 2004 sudah masak dengan masalah bekalan elektrik yang sering mengganggu proses pembelajaran.

Paling menjadi masalah apabila hendak menjalankan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ia melibatkan banyak alat bantu mengajar dalam bentuk cakera padat, komputer dan projektor.

"Bateri komputer riba diberikan kepada guru-guru yang tinggal di Kluang untuk dicas. Cikgu pula akan mengajar menggunakan skrin komputer yang kecil untuk dikongsi dengan murid-murid," kenang Hishamuddin apabila bekalan elektrik terputus dalam tempoh panjang.

Kata lelaki yang berasal dari Felda Nitar itu, terdapat inisiatif membekalkan tenaga solar pada tahun 2005 tetapi pada pendapatnya gagal kerana bekalan elektrik yang dibekalkan terlalu sedikit.

Bilangan panel solar antara tiga hingga empat keping, cukup sekadar menghidupkan tiga buah komputer pada waktu matahari bersinar sahaja.

Kini, dia amat bersyukur kerana SKLM sudah dilengkapi Sistem Solar Hibrid pada 15 Jun 2011 sekali gus sekolah yang menempatkan pelajar seramai 143 orang itu sudah boleh menerima bekalan elektrik selama 24 jam tanpa gangguan.

Solar hibrid merupakan projek di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang dibangunkan dan diselenggara oleh syarikat subsidiari Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Energy Services Sdn. Bhd. (TNBES).

Bencana alam

Solar hibrid di SKLM siap dengan kos kira-kira RM4 juta. Ia memakan masa setahun lapan bulan untuk disiapkan kerana lokasi yang jauh dan sering terputus hubungan akibat bencana alam.

Sistem solar hibrid beroperasi dengan kombinasi solar panel dan generator serta dikawal menggunakan Sistem Pemantauan Jarak Jauh.

Elektrik yang dijana melalui panel solar digunakan pada waktu siang dan lebihan disimpan dalam bateri untuk digunakan kala tiada sinaran matahari.

Jika berlaku kehabisan bekalan elektrik dalam bateri, generator akan berfungsi serta-merta supaya bekalan elektrik dapat dibekalkan setiap masa.

Solar hibrid menjana tenaga elektrik menggunakan nisbah 70 peratus daripada panel solar dan 30 peratus lagi dijana oleh generator serta dikendali secara automatik tanpa pengawasan pengendali.

Sistem solar hibrid merupakan kaedah yang terbaik dalam membekalkan tenaga elektrik ke kawasan pedalaman seperti SKLM kerana penggunaan generator sahaja meningkatkan risiko kerap terputus bekalan elektrik selain kehabisan diesel.

"Grid penghantaran elektrik lebih baik dan menjimatkan tetapi ia bergantung pada bilangan penduduk di sesebuah kawasan.

"Kos bagi setiap 1 kilometer grid elektrik sekitar RM1 juta dan jarak antara jalan besar ke sekolah ini lebih kurang 50 hingga 60 kilometer manakala populasi penduduk tidak mencapai jumlah minimum untuk memasang grid," kata Pengarah Urusan TNBES, Shahrir Abdul Latiff ketika ditemui di sekolah itu.


SUASANA bilik darjah pendidikan khas sedikit berbeza kerana lebih interaktif dan penggunaan objek dengan warna yang pelbagai.

TNBES akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan setiap tiga bulan sekali dengan beberapa pasukan turun ke SKLM bagi menjalankan pemeriksaan ringkas selain menambah diesel.

Tangki minyak generator direka bagi menampung kapasiti sepanjang tempoh tiada sesi penyelenggaraan.

Selain SKLM, terdapat lebih 18 buah sekolah lagi di Johor, Pahang, Kelantan dan Perak yang berada di kawasan pedalaman dapat berasa kenikmatan sama seperti sekolah di Ladang Mutiara.

Penyelesaian alternatif solar hibrid di SKLM itu turut memenangi Anugerah Tenaga ASEAN 2012 (AEA2012) bagi kategori Off Grid Generation sempena Forum Perniagaan Tenaga Asean (AEBF) di Kemboja.

Sumber : Kosmo 08/01/2013

Jangan naikkan tambang bas sekolah sesuka hati



KUALA LUMPUR - Para pengusaha bas sekolah di seluruh negara diminta berunding dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terlebih dulu sekiranya berhasrat untuk menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan tahun 2013.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pengusaha bas harus mengikut peraturan yang ditetapkan oleh SPAD dan tidak menaikkan tambang sewenang-wenangnya tanpa mendapat persetujuan SPAD.

"Sekiranya mereka (pengusaha bas) masih berdegil dan menaikkan tambang tanpa persetujuan SPAD, maka ibu bapa wajib segera melaporkan perkara ini kepada SPAD atau pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil terhadap mereka," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media baru-baru ini mengenai dakwaan ibu bapa pelajar sekolah bahawa ada segelintir pengusaha bas sekolah khususnya di Lembah Klang telah menaikkan tambang pada tahun ini.


Sumber : Kosmo 08/01/2013

Monday 7 January 2013

Guru Pasti P Pinang terima sumbangan awal tahun


BUKIT MERTAJAM: Guru Pusat AsuhanTunas Islam (Pasti) seluruh Pulau Pinang dianugerahkan RM600 seorang sebagai bonus awal tahun 2013.

Justeru, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Yusni Mat Piah berkata, pihaknya merasa sangat bertuah kerana mempunyai guru Pasti yang cukup kental walaupun diduga dengan kesukaran ekoran kekurangan kelengkapan pengajaran.

“Semoga dengan pemberian wang dari Pasti dan Dewan Pemuda PAS negeri bernilai RM150 ribu itu dapat membantu serta menyemarakkan lagi semangat kerja dalam pasukan.

"Guru Pasti harga yang bernilai bagi PAS. Tanpa pengorbanan mereka anak kita tidak mengenali apa itu awalan Islam," tegasnya ketika berucap pada majlis yang diadakan di Kompleks An-Nadhoh, Penanti semalam.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah Pasti negeri, Nazarudin Awang Hamat dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Afnan Hamimi Taib Azamudin.

Guru Pasti yang ditemui rata-rata gembira dengan pemberian itu dan bertekad meneruskan usaha murni memberikan pembelajaran kepada anak bangsa.

Sarimah Ibrahim dari Pasti Kubang Semang, Permatang Pauh berkata, pemberian itu menyuntik semangatnya untuk bertugas dengan lebih tekun lagi pada tahun ini.

Walaupun pemberian itu bukan sandaran, ujarnya namun dapat memberikan harapan baru bahawa guru Pasti tidak diketepikan.

Hasnah Hasan yang bertugas di Pasti An-Najmie, Pongsu Seribu menyifatkan pemberian itu dapat membantu para guru Pasti menyediakan peralatan persekolahan anak-anak.

Pemberian itu juga kata beliau yang bertugas selama 13 tahun, memberi kekuatan kepada guru Pasti untuk bersama-sama memajukan Pasti masing-masing pada tahun ini.

Sumber : Harakahdaily 07/01/2013

Pindaan AUKU perlu diperhalusi



TANGGAL 22 November 2012, Mahkamah Persekutuan mencatatkan satu keputusan bersejarah dalam kalendar gerakan mahasiswa apabila Mahkamah Apex dalam negara ini menolak rayuan kerajaan ke atas keputusan empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Mahkamah Rayuan berhubung kebebasan berpolitik mahasiswa dalam seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang bertentangan peruntukan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

Menariknya, dalam alasan penghakiman yang dikemukakan ia disebabkan kerajaan membuat pindaan terhadap peruntukan subseksyen 15 dalam AUKU di Parlimen pada Jun tahun itu bagi membenarkan mahasiswa terbabit dengan politik di luar kampus, sekali gus menjawab persoalan kebebasan berpolitik mahasiswa.

Justeru, Mahkamah Persekutuan mengambil pertimbangan ini bagi menolak rayuan dikemukakan kerajaan.

Dalam membicarakan maksud kebebasan berpolitik mahasiswa, wajar kita mengetahui apa yang dimaksudkan dengan terma hak atau kebebasan berpolitik.
Dr Andrew Harding, pakar perlembagaan Malaysia yang ketika ini Pengarah Pusat Kajian Perundangan Asean di National University of Singapore mentakrifkannya sebagai hak untuk turut serta dalam proses politik selain daripada menerusi peti undi.
Prof Madya Dr Faridah Jalil dari UKM pula menafsirkan skop kebebasan berpolitik ini dijamin di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan memandangkan setiap warganegara yang terbabit dengan politik mestilah mempunyai hak untuk bersuara, berhimpun dan terbabit dengan persatuan. 

Jika disorot susur-galur kebebasan berpolitik mahasiswa di negara ini, kita tidak boleh menafikan mahasiswa di Tanah Melayu pada 1960-an pernah diiktiraf partisipasinya di dalam politik nasional.

Asas ini penting memandangkan Kelab Sosialis dicatat sebagai kelab politik yang pernah dibenarkan wujud sebelum kewujudan AUKU.

Mahasiswa ini hampir tiada suara langsung menyebabkan wujud suara tidak puas hati yang akhirnya memuncak dengan beberapa demonstrasi hingga menyebabkan kerajaan mewujudkan AUKU.

Apabila rang undang-undang AUKU dibentangkan di Parlimen pada 18 Mac 1971, peruntukan seksyen 15 diperuntukkan dengan maksud menghalang badan pelajar mengambil bahagian atau menggabungkan dirinya dengan badan politik.

Bagaimanapun, Datuk Hussein Onn yang membentangkan rang undang-undang ini menyatakan tujuan peruntukan ini tidak menghalang mahasiswa daripada menyampaikan pandangan peribadi mereka berkaitan dengan politik dan pada masa sama menafikan ahli parti politik untuk masuk ke dalam kampus bagi membicarakan isu semasa.

Pada 1975, pindaan yang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Menteri Pelajaran bukan saja merencatkan pembabitan mahasiswa terhadap politik, malah aktivisme juga merosot dan mati, sekali gus merudumkan aktiviti demonstrasi.

Pindaan AUKU 2009 berhasrat membenarkan hak mahasiswa agar diberi kebebasan yang lebih luas untuk berpartisipasi, berpersatuan dan bersuara di samping terbabit dalam struktur dan proses membuat keputusan tertentu di universiti.

Usia AUKU yang akan mencecah 40 tahun dalam sistem pendidikan tinggi negara wajar difikirkan semula. Sepanjang tempoh masa 40 tahun, pelbagai persoalan timbul sama ada mahasiswa kita aktif atau pasif, berfikiran kritis atau tiada idea.

Persoalan AUKU harus dilihat dalam konteks lebih luas dan komprehensif. Ia seiring dengan ucapan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyarankan AUKU dipinda dengan lebih luas dan komprehensif dalam pelbagai wacana dan rundingan meja bulat di dalam meminda seksyen 15 AUKU pada awal 2011.

Penulis sedang melanjutkan pengajian Ijazah Kedoktoran dalam undang-undang Perlembagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : Harian Metro 07/01/2013 - Idzuafi Hadi Kamilan

Pertingkat kemahiran



Kekangan kewangan selalu menjadi peng­halang kebanyakan pe­lajar melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Namun, ramai akur bahawa hanya melalui pening­katan tahap akademik, seseorang individu mampu memiliki masa depan yang lebih cerah dan terjamin.
Faktor ini turut didukung salah sebuah institusi pendidikan kemahiran yang memiliki pengalaman melebihi 11 tahun iaitu Pusat Bertauliah Institut Generasi. 

Institut ini terletak di lokasi strategik di tengah bandar raya Kuala Lumpur (hanya seminit berjalan kaki dari stesen LRT/Star Masjid Jamek KL).

Bagi memberi peluang lebih ramai pelajar berkaliber mencorakkan masa depan lebih cemerlang, institut itu menawarkan tajaan biasiswa pengajian sehingga RM15,000 kepada mereka yang layak.
Tawaran biasiswa itu ba­gi memberikan sokongan ke­wangan kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan mempunyai impian bagi memiliki Diploma Kemahiran Malaysia. 

Mereka yang berminat boleh hadir untuk taklimat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Antara syarat umum ialah berusia antara 17 tahun hingga 30 tahun, tamat persekolahan tingkatan lima atau mempunyai pengalaman bekerja selama setahun dan berpendapatan seisi keluarga tidak melebihi RM4,000 sebulan.

Pelajar yang menunggu keputusan SPM dan STPM layak memohon.

Individu yang berminat perlu membuat tempahan awal bagi menghadiri sesi taklimat ini.

Bagi yang masih mencari bidang pendidikan berpotensi untuk peluang masa depan yang terjamin, lengkapkan diri dengan mengikuti Diploma Kemahiran Malaysia di Pusat Bertauliah Institut Generasi.

Sejajar dengan perkembangan pekerjaan dalam bi­dang Teknologi Maklumat & Pengurusan, Malaysia me­merlukan sokongan birokrat atau pengurusan profesional.

Individu yang memiliki idaman kerjaya profesional di pejabat perlulah bersiap sedia bagi menghadapi cabaran globalisasi ini.

Jika mahu memastikan masa hadapan pada tahap cemerlang, melanjutkan pengajian dalam bidang Kesetiausahaan & Pengurusan Korporat dan juga bidang Pengaturcaraan & Sistem Analisis pasti menjadi penyelesai kepada pencarian anda.

Bidang Kesetiausahaan & Pengurusan Korporat adalah bidang kerjaya yang sentiasa mempunyai permintaan di kalangan majikan.

Golongan individu sama ada yang berkerjaya dalam bidang pejabat atau ingin mencari peluang kerjaya dalam sektor pengurusan, amat bersesuaian memilih bidang Kesetiausahaan dan Pengurusan Korporat sebagai platform mereka.

Menerusi program ini, anda akan dibentuk bagi memiliki tahap kemahiran yang sewajarnya agar dapat memiliki platform kerjaya yang cemerlang dan profesional.

Konsep pembelajaran yang ditawarkan berpandukan 80 peratus kemahiran dan dapat memberikan pelajar pendedahan kepada pelbagai jenis kemahiran seperti mempertingkatkan skil menaip, mentadbir dan menggunakan komputer secara cekap, mengambil catatan minit mesyuarat dalam bentuk ringkas dan pantas, menguruskan pejabat dan menguruskan pentadbiran peringkat atasan dengan yakin.

Bagi golongan individu yang ingin mengejar kenaikan jawatan di bidang ICT atau bercita-cita mencipta karier sebagai seorang programmer, program Pengaturcaraan & Sistem Analisis dibangunkan khusus untuk anda.

Modul pembelajaran yang diterapkan adalah 100 peratus menumpukan kepada aspek praktikal dan pembelajaran dalam makmal bagi melahirkan seorang pengaturcara yang mahir dan pakar dalam bidang pengaturcaraan laman web.

Antara matapelajaran yang didedahkan kepada pelajar adalah Pengaturcaraan Berasaskan Objek seperti PHP Programming, HTML, CSS, Javascript dan SQL Database.

Mereka didedahkan pengetahuan asas mengenai komputer dan ICT yang turut didedahkan dalam mata pelajaran Teknologi Maklumat, Pengurusan Sistem Maklumat dan Internet Marketing.

Jika berminat mendapatkan tajaan biasiswa bagi program Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Kesetiausahaan dan Pengurusan Korporat, Pengaturcaraan & Sistem Analisis, anda boleh hadir untuk sesi taklimat khas pada 11 Januari 2012 (Jumaat) atau 12 Januari 2012 (Sabtu) pada jam 11 pagi.

Tempahan bagi menghadiri taklimat ini perlu dibuat menerusi sistem perkhidmatan SMS iaitu & ke talian 017-6863074 atau menghubungi Pusat Bertauliah Institut Generasi di talian 03-20704081.

Taklimat akan diadakan di kampus induk Pusat Bertauliah Institut Generasi di 51-53 Jalan Leboh Ampang, Kuala Lumpur.

Sumber : Harian Metro 07/01/2013

Tiba masanya pencapaian pelajar lelaki meningkat



JURANG dominasi pencapaian akademik yang ketara di antara pelajar lelaki dan perempuan bukan isu yang boleh dipertikaikan.

Namun, kebimbangan pelbagai pihak mengenai jurang sedia ada perlu diberi perhatian demi memastikan proses kelangsungan pendidikan antara dua gender itu dapat diimbangi dengan baik.

Penguasaan pelajar perempuan dalam pencapaian akademik yang sentiasa cemerlang bagai memberi isyarat bahawa pencapaian pelajar lelaki mesti diperbaiki jika tidak mahu terus ketinggalan.

Biarpun sistem pendidikan yang diguna pakai tiada bezanya untuk mengukur kapasiti pencapaian dua gender, mengapa pencapaian pelajar lelaki tetap tidak setara?
BIARPUN kemampuan pelajar lelaki sering kali dikatakan agak ketinggalan, namun mereka masih boleh berjaya jika disokong dengan cara yang betul.
Ini menimbulkan persepsi, pelajar lelaki memang mempunyai tahap kepandaian rendah berbanding pelajar perempuan hingga menjadikan mereka ‘populasi’ yang semakin mengecil dalam pencapaian akademik.
Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, memang ada perbezaan tahap perkembangan di antara pelajar lelaki dan wanita.

Beliau berkata, biarpun dominasi pencapaian akademik lebih terarah kepada perempuan, akan tiba masanya lonjakan pencapaian pelajar lelaki mengatasi pelajar perempuan.

“Perkara ini tidak mustahil kerana proses pengembangan, cara berfikir dan pendedahan berbeza.

“Pada peringkat awal, kecemerlangan pelajar perempuan agak ketara kerana mereka terdidik dengan sistem pembelajaran berstruktur,” katanya.

Berdasarkan kajian beliau pada 2008, pelajar perempuan secara biologikal memang mempunyai potensi menyerlahkan kematangan pada usia tertentu biarpun di sekolah rendah.

Kematangan pelajar perempuan, katanya, boleh dilihat apabila mereka sangat teliti sewaktu membuat kerja sekolah, sering membawa buku dan khusyuk di dalam kelas.

“Sebaliknya pelajar lelaki lebih banyak bermain, bergurau senda dengan mengusik kawan dan hanya mampu memberi perhatian pada pelajaran pada 15 minit pertama.

“Perbezaan biologikal ini memang fitrah kerana secara normalnya, perempuan memang cepat matang.

“Tapi kematangan lelaki dalam berfikir boleh menjadi sangat pantas apabila berada pada tahap tertentu. Pada waktu itu, lelaki berfikir menggunakan akal tapi perempuan menggunakan emosi,” katanya.

Katanya, ibu bapa tidak perlu risau jika melihat anak lelaki mereka leka bermain serta liat membaca buku.

“Kemampuan mereka menyerap maklumat, memahami proses pembelajaran dan mengulang kaji tidak sama dengan pelajar perempuan. Tapi mereka tetap boleh fokus,” katanya.

Melalui hasil kajian itu, beliau mendapati masalah ketidakseimbangan pencapaian akademik antara dua gender itu sudah berlaku sejak 1960-an termasuk di negara maju.

“Ini berkait rapat dengan nilai etika dan budaya. Lelaki sering ditafsirkan sebagai golongan yang banyak memikul tanggungjawab dan melihat proses pembelajaran itu lebih bersifat fizikal.

“Perempuan pula melihat proses pembelajaran itu seperti satu seni dan perlu dilakukan atas dasar tanggungjawab.

“Kontra itu menjadikan pelajar lelaki menganggap belajar skopnya sangat meluas bukan sekadar akademik semata-mata sedangkan pelajar perempuan sebaliknya,” katanya.

Di negara maju, katanya mereka turut berdepan dilema ini. Pelajar lelaki banyak yang tercicir dalam akademik tapi akhirnya menjadi insan berjaya.

“Nama-nama seperti Bill Gates tidak cemerlang dalam akademik tapi menggunakan kepandaian lain untuk berjaya.

“Ini juga panduan yang baik supaya ibu bapa tidak terlalu gusar dan tertekan jika anak tidak terarah kepada akademik, sebaliknya subjek berbentuk teknikal,” katanya.

Beliau menyarankan agar ibu bapa memberi sokongan kepada anak lelaki jika mereka menunjukkan kecenderungan dalam subjek tertentu.

“Ada kalanya, ibu bapa mempunyai persepsi buruk jika melihat anak lelaki lebih teruja kepada Internet, sukan, Discovery Channel berbanding membaca buku.

“Biarkan kerana pada masa itu mereka sedang menggunakan kreativiti serta keterujaan untuk memperoleh sumber maklumat yang boleh membantu dalam proses pembelajaran.

“Jangan sekat atau membebel kerana ia akan membantutkan kegigihan mereka untuk belajar. Perlu diingat cara belajar pelajar lelaki dan perempuan berbeza,” katanya.

Malah, kajian itu membuktikan pelajar lelaki lebih berminat kepada aspek teknikal, sains dan matematik tetapi bermasalah dalam subjek Bahasa Melayu dan Inggeris.

Kecenderungan itu, katanya, boleh membawa kepada peningkatan pencapaian tahap berikutnya dan jika diberi dorongan berterusan, mereka boleh berjaya.

“Tapi kecemerlangan itu tidak hanya diukur melalui tahap pencapaian akademik semata-mata. Mungkin pencapaian akademiknya sederhana tapi kerana ada pengetahuan teknikal, itu satu kelebihan.

“Dan selalunya pelajar lelaki ini, sekali diberi peluang menunjukkan kemahiran atau minat, mereka boleh terus memacu kecemerlangan sama di sekolah atau institusi pengajian tinggi,” katanya.

Ditanya adakah ini menunjukkan pencapaian pelajar wanita hanya pada tahap tertentu, beliau menafikan, sebaliknya menegaskan mereka mampu meneruskan kecemerlangan.

“Buktinya institusi pengajian tinggi negara banyak didominasi pelajar perempuan. Cuma persoalannya, apakah bidang diikuti itu mampu memberi pulangan setimpal sebaik tamat pengajian?

“Tolak tepi penguasaan dalam bidang kritikal seperti perubatan tapi melihat senario pekerjaan hari ini, dominasi tenaga kerja berprestij atau berkemahiran banyak didominasi pelajar lelaki.

“Ini membuktikan sampai tahap tertentu, pelajar lelaki mampu membina kecemerlangan sendiri yang menyamai atau melebihi pelajar wanita.

“Justeru, usah gusar jika pelajar lelaki sering ketinggalan. Percayalah bahawa kebolehan setiap pelajar berbeza dan mereka ada keistimewaan masing-masing,” katanya.

Sumber : Harian Metro 07/01/2013

Sunday 6 January 2013

3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah



RANTAU PANJANG – Seramai 3,918 pelajar di lapan sekolah di Kelantan tidak dapat meneruskan persekolahan, apabila lapan sekolah masih ditutup setelah dinaiki air serta jalan ke sekolah terputus hubungan.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, empat sekolah terlibat di Tumpat sementara empat lagi di Pasir Mas.

Menurutnya, sekolah di daerah Pasir Mas yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah, Bonggor, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah Siram, Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang.

“Di Tumpat pula SK Simpangan, SK Bendag Pak Yong, SK Teluk Jering dan SABK Nurul Huda.

“Sekolah lain beroperasi seperti biasa dan pihak kami sedang memantau keadaan untuk melihat sekolah yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, petang semalam.

Kelmarin, SK Sri Rantau Panjang 1 dan SK Sri Rantau Panjang 2 yang turut dinaiki air telah dibuka semula hari ini.

Sementara itu, jalan di Kubang Rambutan yang dinaiki air serta tidak dapat dilalui kenderaan ringan sudah boleh dilalui semua kenderaan.

Paras Air Sungai Golok sehingga jam 5 petang 9.52 meter dan masih melebihi paras bahaya 9 meter.

Sumber : Sinar Harian 07/01/2013

Saturday 5 January 2013

Rayu kaji kadar tambang bas sekolah



Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPPBSM) yang mewakili 14,000 ahli seluruh negara merayu kerajaan mengkaji semula kadar tambang atas alasan peningkatan kos operasi.

Untuk tujuan itu, GPPBSM mahu mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.

Setiausaha Agungnya, Md Saad Mohamad, berkata rayuan kesatuan untuk menaikkan tambang bukan bertujuan membebankan ibu bapa, sebaliknya hampir keseluruhan pengusaha bas sekolah kini berhadapan kenaikan kos penyelenggaraan kenderaan.

Kali terakhir kadar tambang dinaikkan ialah pada 2009 dan kini kita merasakan sudah tiba masanya tambang dikaji semula," Md Saad Mohamad, Setiausaha Agung GPPBSM
“Kali terakhir kadar tambang dinaikkan ialah pada 2009 dan kini kita merasakan sudah tiba masanya ini (tambang) dikaji semula memandangkan harga tayar dan bateri juga semakin meningkat.

Pertimbang rayuan

“Kami amat berharap SPAD akan mempertimbangkan rayuan GPPBSM, malah kami juga akan mengadakan pertemuan bersama mereka (SPAD) dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada BH, semalam.

Kelmarin, ibu bapa melahirkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pengusaha bas sekolah khususnya di Lembah Klang yang didakwa menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan 2013.
Bercanggah peraturan

Mereka menyifatkan tindakan itu bukan saja bercanggah dengan peraturan SPAD, malah turut membebankan ibu bapa terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Md Saad berkata, dalam pertemuan bersama SPAD, pihaknya kemungkinan mencadangkan supaya tambang bas sekolah bandar dan luar bandar diselaraskan kepada RM30 sebulan, berbanding ketika ini RM27.43 (bandar) dan RM20.61 (luar bandar).

“Ketika ini tiada pengusaha bas sekolah dibenarkan menaikkan harga tambang memandangkan tiada sebarang persetujuan daripada pihak kerajaan, bagaimanapun kita memandang serius sekiranya ada di antara ahli kami berbuat demikian,” katanya.

Sumber : Berita Harian 06/01/2013

UTM, MIT bakal bangunkan sistem pengajaran Blossoms



Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal menjalin kerjasama dengan Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat bagi membentuk sistem Blossoms, sistem pengajaran bercampur Sains dan Matematik.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zaini Ujang (gambar), berkata Blossoms yang akan mengambil masa lima tahun untuk dibangunkan, bertujuan mewujudkan sistem pengajian dan pelajaran yang berkesan serta menyeronokkan untuk mempelajari kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

RM10j tampung kos
Seramai 100 guru sekolah menengah terpilih dari seluruh negara juga berpeluang mengikuti program berkenaan dalam usaha memupuk minat dan kefahaman pelajar dalam subjek Sains dan Matematik," Dr Zaini Ujang, Naib Canselor UTM.

Katanya, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi menampung kos program terbabit yang akan membabitkan 20 tenaga pengajar UTM, terdiri daripada 10 pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PHD) dan 10 pelajar pasca kedoktoran.

“Selain itu, seramai 100 guru sekolah menengah terpilih dari seluruh negara juga berpeluang mengikuti program berkenaan dalam usaha memupuk minat dan kefahaman pelajar dalam subjek Sains dan Matematik,” katanya.

Kerjasama itu juga antara lain bagi menunjukkan hubungan penggunaan kedua-dua subjek berkenaan dengan realiti, selain membentuk pemikiran kritis berbanding kaedah menghafal sebelum ini, selain memperkenalkan penggunaan teknologi terkini sebagai satu alat bantuan pengajaran yang lebih berkesan kepada guru di bilik darjah.

Kaedah lebih menarik 

“Jika dulu sistem pembelajaran hanya menekankan satu kaedah pada satu-satu masa, projek ini diharapkan dapat membentuk kaedah pengajian lebih menarik dan komprehensif. Kami mahu pelajar seronok mempelajari kedua-dua subjek penting berkenaan, bukan berasa tertekan ketika belajar.

“Kami mahu menggalakkan guru menggunakan pendekatan aktif dan berkesan seperti kaedah penyelesaian masalah berbanding proses pengajaran berbentuk syarahan dalam kelas. Dengan program seumpama ini, diharap ia bukan saja melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang, malah dapat memahami kedua-dua subjek terbabit dengan lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, UTM menyasarkan menjalin kerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 universiti asing tahun ini bagi menjadikan UTM universiti berkelas dunia, selain dapat berkongsi kepakaran dan ilmu baru.

Katanya, UTM sudah mengadakan pelbagai program usaha sama dengan 225 universiti di seluruh dunia membabitkan pelbagai bidang dan disiplin ilmu seperti Sains, Matematik, teknologi dan inovasi selain penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Sumber : Berita Harian 06/01/2013

11 Sekolah di Kelantan tutup hari ini akibat banjir



KOTA BHARU — Sebelas sekolah di jajahan Pasir Mas dan Tumpat, di Kelantan ditutup hari ini akibat banjir yang melanda negeri itu sejak minggu lepas melibatkan kira-kira 5,000 pelajar dan 400 guru serta lebih 200 kakitangan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussin Awang berkata penutupan sekolah itu disebabkan bangunan dan jalan menuju ke sekolah terbabit digenangi air banjir yang kembali melimpahi sungai selepas hujan lebat tiga hari lalu.

Sekolah terbabit di Pasir Mas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Falah, Siram, Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang I, SK Rantau Panjang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Khay Boon.

Manakala sekolah di Tumpat pula ialah SK Simpangan, SK Bendang Pak Yong, SK Telok Jering dan SABK Nurulhuda.

Katanya sekolah itu dijadual memulakan sesi persekolahan hari ini, tetapi ia terpaksa ditangguhkan susulan air banjir yang mula melimpahi tebing sungai dan menyebabkan bangunan dan jalan menuju ke sekolah terbabit digenangi air semula.

Hussin berkata pihaknya sedang memantau keadaan itu sebelum memaklumkan arahan baru kepada pihak pengurusan sekolah terbabit.

Beliau juga mahu pihak sekolah dan ibu bapa sentiasa mengikuti perkembangan terkini banjir melalui media massa bagi tindakan selanjutnya.

Sumber : Kosmo 06/01/2013

Muhyiddin umum pembinaan sekolah menengah di Proton City



TANJUNG MALIM: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan di bandar automotif Proton City di sini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, pembinaan sekolah berkapasiti
1,200 pelajar dengan kos RM40 juta, yang dijadual bermula tahun depan itu mengambil masa kira-kira dua tahun setengah untuk disiapkan. 

"Jika perancangan pembangunan Tanjung Malim sebagai bandar automotif diteruskan, ia harus selari dengan pembangunan bandar yang teratur,
infrastruktur mencukupi bagi penduduk, khususnya mereka yang tinggal di Tanjung
Malim dan Behrang.

"Untuk itu, pengurusan DRB-Hicom dan Proton sudah berbincang dengan Kementerian Pelajaran untuk bina sebuah sekolah menengah di sini untuk keperluan anak-anak pekerjanya.

"Sukacita saya maklumkan Kementerian Pelajaran sudah menimbang dan bersetuju luluskan dalam pelan persiapan pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan di
sini dengan kos RM40 juta," katanya ketika berucap pada majlis pertemuan dan
makan tengah hari bersama warga kerja Proton di Proton City.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi
Eksekutif Proton, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Bercakap di hadapan kira-kira 2,000 jemputan termasuk 1,500 kakitangan
Proton, Muhyiddin berkata, pembinaan sekolah itu akan menyelesaikan masalah
penduduk dan anak-anak kakitangan Proton untuk meneruskan persekolahan yang mana
kini mereka terpaksa berulang alik sejauh 10 kilometer untuk ke sekolah menengah
berhampiran di Tanjung Malim.

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk melengkapkan lagi pembangunan kawasan
Selatan Perak itu, kerajaan pusat juga akan menyediakan peruntukan RM2.5 juta
untuk membina sebuah sekolah agama.

"Dengan pembangunan yang pesat dan pertambahan penduduk, kerajaan harap inisiatif dan pengumuman baru ini akan memastikan visi menjadikan Proton City
sebagai bandar automotif bertaraf global dapat dicapai dalam tempoh lima tahun
akan datang," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN)
menghadiri mesyuarat tertutup bersama BN Perak di Kompleks Sukan Proton City
yang dihadiri antaranya Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor; Zambry selaku Pengerusi BN negeri, timbalannya, Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah.

Mesyuarat tertutup selama dua jam itu turut disertai Timbalan Pengerusi MCA
Perak, Datuk Seri Kong Cho Ha; Pengerusi MIC, Datuk Seri G Palanivel; Pengerusi
GERAKAN, Datuk Seri Chang Ko Youn dan Pengerusi PPP, Datuk Seri Dr M Kayveas.

Sumber : Berita Harian 05/01/2013

Friday 4 January 2013

Pendidikan percuma peringkat rendah hingga ke universiti



SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) memberi jaminan 
akan menjadikan program pendidikan sebagai keutamaan sekiranya diberi mandat memerintah negara dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ketua Umum PKR, Datuk 
Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan khusus itu bagi memastikan mutu pendidikan di kalangan pelajar bertambah baik tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Beliau berkata, selain daripada 
peningkatan kualiti, PR juga akan memastikan pendidikan itu diberikan secara percuma bermula dari peringkat rendah hingga ke universiti.

“Malaysia mempunyai keupayaan 
mengangkat martabat rakyat sumber daya manusia dengan memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan, mutu pendidikan lebih baik bagi semua pelajar tanpa mengira kaum, suku kaum atau wilayah Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.

“Bagi yang tidak berpeluang 
untuk bersama ke universiti, peluang-peluang latihan kemahiran mengangkat keupayaan dan ketrampilan mereka dalam pelbagai bidang akan diperbanyakkan.

Ada yang mempertikai 
adakah janji ini olok-olok menjelang pilihan raya. Saya tidak mewakili pandangan sedemikian kerana kita punya keupayaan.

“Kita ada 
kekuatan ekonomi. Sumber khazanah, minyak, gas, kelapa sawit dan percukaian cukup tinggi. Masalahnya, adalah masalah pengurusan ekonomi. Saya memberi tumpuan pendidikan kerana ini mendesak di awal tahun,” katanya sempena perutusan Tahun Baru 2013.

Selain itu, katanya, tumpuan 
akan turut diberikan terhadap bidang perumahan, kesihatan selain memastikan harga barang sentiasa berada di bawah kawalan.

Tambahnya, PR juga akan 
memastikan khazanah negara dikawal rapi tanpa berlaku ketirisan di kalangan pemimpin seperti yang diamalkan Kerajaan Umno-BN.

“Kalau kita dapat pastikan, 
jangan ada pimpinan merompak kekayaan negara. Jangan dibiar khazanah negara diambil untuk golongan elit penguasa, memperkayakan diri, keluarga dan kroni mereka.

“Saya yakin pengagihannya 
lebih adil, saya yakin tidak akan ada ketegangan kaum kerana berasa iri hati terhindar, terhindar, terpinggir dalam kawasan dibelenggu kemiskinan,” katanya.

Sumber : Selangorkini 04-11/01/2013

Ibu bapa kecewa tambang bas sekolah naik



Kuala Lumpur: Golongan ibu bapa kecewa dengan tindakan segelintir pengusaha bas sekolah khususnya di Lembah Klang yang didakwa menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan 2013.

Mereka menyifatkan tindakan sedemikian bukan saja bercanggah dengan peraturan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), malah turut membebankan ibu bapa terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Linda, 40, dari Bangi berkata, beliau yang sebelum ini membayar RM30 bagi tambang bas sekolah anaknya, kini dikenakan RM40, walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan mengenainya.

Saya amat terkejut apabila pengusaha bas sekolah memaklumkan bahawa mulai sesi persekolahan ini saya perlu membayar tambang bas sekolah anak RM40 dan berasa hairan kerana tiada sebarang pengumuman mengenai kenaikan tambang (bas sekolah).

Pengusaha bas sekolah memberi alasan mereka terpaksa menaikkan (tambang) disebabkan kenaikan harga alat ganti kenderaan, selain kos operasi turut meningkat dari semasa ke semasa, katanya, semalam.

Hajaz Ahmad, 41, dari Alam Damai, Cheras berkata, pada hari pertama persekolahan pengusaha bas sekolah sudah memaklumkan kepadanya mengenai kenaikan harga tambang dalam tempoh terdekat ini.

Pengusaha sudah pun memberi notis memaklumkan mengenai kadar tambang baru membabitkan kenaikan antara RM5 hingga RM10 dalam tempoh terdekat ini..., ketika ini saya membayar tambang RM55, katanya.
Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPPBSM) yang mewakili kira-kira 14,000 ahli seluruh negara menafikan berlaku kenaikan tambang bagi sesi persekolahan ini.

Setiausaha Agungnya, Md Saad Mohamad berkata, disebabkan tiada sebarang pengumuman rasmi daripada SPAD, maka pengusaha bas sekolah tidak dibenarkan menaikkan harga tambang.

Pada masa sama, pihak kami turut bimbang terhadap perkhidmatan van sapu yang beroperasi sebagai bas sekolah haram, terutama di Lembah Klang yang kadang kala mengenakan kadar tambang tinggi, katanya.

Sumber : Berita Harian 05/01/2013

Lawat mengejut sekolah ‘panas’



KUALA LUMPUR: Polis disaran menjalankan lawatan mengejut ke sekolah ‘panas’ di seluruh Malaysia bagi mengatasi masalah pembabitan remaja belasan tahun dalam geng samseng yang aktif melakukan jenayah.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN), Profesor Datuk Dr Mohammad Ali Hassan (gambar) berkata, tindakan itu boleh dilakukan selepas polis mengenal pasti sekolah yang disyaki mempunyai pelajar terbabit aktiviti berunsur ‘gangsterism’ “Polis boleh mengambil langkah awal dengan mengadakan lawatan secara rawak dari masa ke masa. Mereka juga boleh meletakkan buku rekod lawatan untuk tujuan itu.

“Kami tidak mahu mewujudkan suasana tegang di sekolah, tetapi menggunakan pendekatan berhemah untuk mengesan ketua geng terbabit.

“Apabila individu terbabit dikenal pasti, langkah seterusnya untuk memulihkan pelajar bermasalah ini akan lebih mudah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro Rabu lalu melaporkan seorang remaja lelaki berumur 16 tahun dikesan merekrut rakan sekolah dan adik kandungnya untuk menyertai kumpulan samun diketuainya sebagai cara mudah mendapat wang belanja harian.

Sumber : Harian Metro 05/01/2013

Keputusan Muet November 2012 diumum Selasa



KUALA LUMPUR - Keputusan ujian Malaysian University English Test (Muet) bagi sesi November 2012 akan dikeluarkan 8 Januari depan, menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini.

Seramai 75,634 orang menduduki ujian itu.

Calon yang mendaftar di sekolah atau institusi boleh mendapat keputusan di sekolah atau institusi masing-masing mulai pukul 10 pagi manakala calon persendirian akan memperolehnya melalui pos.

"Calon juga boleh menyemak keputusan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip MUET<jarak>RESULT<jarak><nombor kad pengenalan> dan dihantar ke 15888, mulai pukul 12:01 tengah malam 8 Januari atau melalui online dengan melayari portal MPM iaitu http://www.mpm.edu.my mulai pukul 9 pagi pada tarikh tersebut," kata kenyataan itu.

Bagi calon yang mahu membuat semakan semula keputusan mereka, boleh berbuat demikian dengan membuat bayaran sebanyak RM70 yang tarikh tutup rayuan ialah pada 14 Januari.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web MPM di www.mpm.edu.my.

Bagi calon yang ingin mengambil semula MUET atau memperbaiki keputusan, mereka boleh membuat pendaftaran untuk sesi Mac 2013 secara online melalui laman web MPM atau menerusi www.mesp.gov.my/online.

Sumber : Sinar Harian 04/01/2013

Thursday 3 January 2013

Utamakan graduan tempatan dalam pengajaran Bahasa Inggeris


SHAH ALAM - Kerajaan Pusat seharusnya mengutamakan pengambilan graduan tempatan dan menambah baik sistem pembelajaran di negara ini sebelum bertindak mengambil guru dari luar negara untuk mengajar Bahasa Inggeris.

Exco Pendidikan, Pendidikan
Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah di sekolah-sekolah mungkin berpunca daripada sistem pembelajaran itu sendiri.

Pada masa yang sama, terdapat beribu
graduan daripada institut pendidikan yang masih belum mendapat pekerjaan walaupun mendapat keputusan yang baik.

Kerajaan Pusat juga pernah bersikap
‘flip-flop’ dalam membuat keputusan tentang pembelajaran Bahasa Inggeris. Ini dilihat dalam dasar pembelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris yang dilaksanakan zaman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang kemudiannya dibatalkan pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Oleh itu, kata Dr Halimah, Kementerian
Pelajaran sepatutnya mengkaji pelaksanaan itu sebelum membuat pengumuman. “Jangan disebabkan kita pergi lawatan ke India, terus berminat untuk mengambil orang dari sana untuk dibawa masuk mengajar di sekolah kita.

“Ia perlu dikaji semula. Kita tidak
mahu fenomena polisi flip-flop, kejap ada kejap tiada, ” katanya ketika ditemui. Beliau menambah, tindakan itu juga seolah-olah menjadikan pelajar di negara ini sebagai satu eksperimen.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatannya ke India mengumumkan bahawa Malaysia berminat untuk mengambil guru-guru dari negara tersebut untuk mengajar Bahasa Inggeris di sekolah sekolah kebangsaan tanah air.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli
baru-baru ini membangkitkan isu nasib graduan-graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) khususnya dari Intitusi Pengajian Tinggi Swasta yang tidak menerima tawaran pekerjaan di sekolah sekolah kebangsaan.

Pada Mac 2012, Timbalan Menteri
Pelajaran Datuk Puad Zarkashi mengesahkan bahawa 7,000 graduan ISMP belum diberikan tawaran kerja meskipun mendapat keputusan baik.

Dr Halimah berkata, Kerajaan Pusat
perlu menyelesaikan masalah pengangguran graduan pendidikan supaya mereka ini tidak ‘dianaktirikan’.

“Kita ada banyak lepasan graduan
pendidikan, tak kan Kerajaan Pusat tidak mempunyai kenyakinan untuk mengambil mereka? Sedangkan Kementerian Pelajaran yang melahirkan graduan ini.

“Nak mengajar sesuatu bahasa, dia
mesti ada cara pengajaran dan pembelajaran yang betul. “Mesti guna kaedah yang berkesan, yang kita lihat dari segi teori pelajar pandai, tetapi bertutur tidak pandai boleh berkomunikasi.

“Ia mungkin bukan langkah yang bijak dan menganiayai graduan sendiri,”
katanya.

Sumber : Selangorkini 04-11/01/2013

Selesai dahulu penempatan graduan Bahasa Inggeris



KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan (GMPK) menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) segera menyelesaikan masalah pengangguran graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang masih berlarutan.

“GMPK melihat KPM gagal mengatasi masalah yang berulang dalam proses penempatan guru ini. Ini bukan kali pertama bahkan saban tahun ia berlaku seolah-olah tidak ada perancangan jangka masa yang panjang untuk menyelesaikan permasalahan ini,” ujar Pengerusi GMPK merangkap Naib Presiden Gamis, Mohd Faiz Ismail.

Katanya, GMPK akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat supaya menyegerakan selesai masalah pengangguran guru dengan mempercepatkan penempatan guru dan GMPK turut akan menyampaikan bantahan terhadap hasrat kerajaan Malaysia mengambil guru Bahasa Inggeris dari India sedangkan (graduan) guru Bahasa Inggeris masih belum ditempatkan lagi.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pernah mengeluarkan kenyataan tidak beretika yang mempermainkan harapan graduan ISMP.

Dalam siaran Berita Harian online bertarikh 13 September 2012, beliau mengatakan seramai 10,200 graduan ISMP yang menganggur akan diketahui pada 28 September 2012 yang akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2013.

Graduan ISMP tertungu-tunggu berita tersebut tetapi malangnya pada tarikh tersebut tidak ada sebarang kenyataan rasmi dari Perdana Menteri Malaysia ataupun KPM sehinggalah Menteri Pelajaran Malaysia merangkap Timbalan Perdana Menteri (TPM) mengeluarkan kenyataan berhubung isu pengangguran graduan ISMP seminggu kemudiannya iaitu pada 4 Oktober 2012.

Dalam kenyataan tersebut, sekali lagi TPM memberi pengharapan seperti sebelum-sebelum ini bermain dengan ekstensif masa umpama menunggu buah yang tidak tahu hujung jatuhnya bila.

Walhal, graduan pendidikan dari institut pengajian tinggi terpaksa mananggung pinjaman PTPTN yang perlu dibayar, terbelenggu dengan perangkap kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan kerana memengang status graduan pendidikan, dan ia memberi tekanan emosi dengan janji yang tidak pasti dari kerajaan khususnya KPM.

Selain itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) turut mendesak agar kerajaan Malaysia menyelesaikan masalah pengangguran terhadap graduan untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Presiden Gamis, Azan Safar turut menempelak kerajaan dengan mengatakan mahasiswa pada hari ini dibebankan dengan hutang pendidikan, kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan yang kian tipis.

“Sungguh kasihan mahasiswa sekarang dibuli oleh kerajaan sendiri. Pekerjaan tak dapat, hutang sudah menimbun di belakang.

“Atas dasar inilah Gamis menyokong teguh pendirian supaya menyelesaikan masalah pengangguran di Malaysia. Ini tidak syak lagi menambahkan keyakinan Gamis untuk meneruskan kempen ‘Mahasiswa Mahu Tukar Kerajaan’,” katanya lagi.

Sumber : Harakahdaily 04/01/2013

Denda rasuah diploma



Kuala Lumpur: Bekas pensyarah sebuah universiti swasta dihukum penjara dua bulan dan didenda RM10,000 selepas mengaku salah menerima rasuah daripada pelajarnya membabitkan pemberian diploma kulinari bernilai RM3,000, Julai tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Elmy Shadzly Wahi, 41, dan turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu, berkuat kuasa semalam.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh yang kini bekerja sebagai jururunding di sebuah syarikat swasta didakwa memperoleh rasuah wang tunai RM1,500 menerusi akaun Maybank, Muhammad Asrull Aizat Solehan sebagai balasan kepada pelajarnya itu mendapatkan diploma kulinari tanpa perlu menghadiri kuliah dan peperiksaan.


Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai pensyarah di Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU), didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Dataran Maybank Bangsar, Nombor 1, Jalan Maarof di sini, jam 3.30 petang, 13 Julai 2012.

Bagi tuduhan kedua, Elmy Shadzly didakwa cuba mendapatkan RM1,500 untuk tujuan sama di Jalan Sri Ehsan 2, Taman Perindustrian Sri Ehsan di sini, jam 8.30 malam, pada 16 Julai 2012.

Sumber : Berita Harian 04/01/2013

Hormati guru, jangan perlekeh - Alimuddin



KUALA LUMPUR 3 Jan. - Kerjaya perguruan tidak wajar diperlekeh apatah lagi merendah-rendahkan pekerjaan mulia itu tanpa mengira apa jua tahap kelayakan dan kelulusan mereka.

Tanpa mahu merujuk kepada mana-mana kenyataan, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, guru perlu diberi penghormatan tertinggi berdasarkan sumbangan besar mereka dalam menyampaikan ilmu dan mendidik anak bangsa.

"Guru adalah profesion mulia, tidak kiralah apa jua kelulusan atau kelayakan mereka.

"Semua masyarakat patut menghormati guru kerana mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan malah mendidik anak bangsa untuk menjadi seorang insan berguna," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini memperlekehkan taraf pendidikan bekas penyokong parti itu, Zainon Ismail atau lebih dikenali C.N. al-Afghani hanya kerana penulis buku Kafirkah Aku? itu seorang guru sekolah rendah.


Sumber :Utusan Malaysia 03/01/2013

Imtiaz Kemaman bakal tampung 1,000 pelajar



KEMAMAN 2 Jan. - Pembinaan Kompleks Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Kemaman dengan kos RM60 juta di Kijal dekat sini yang mampu menampung sehingga 1,000 orang pelajar dijangka siap pada akhir tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, penubuhan kompleks cawangan kelima sekolah berasrama penuh milik kerajaan negeri itu bagi menampung permohonan kemasukan yang begitu tinggi setiap tahun termasuk dari negeri-negeri lain.

"Imtiaz Kemaman telah beroperasi selama dua tahun di bangunan sementara di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun yang menempatkan 200 orang pelajar tingkatan satu dan dua.

"Apabila siap kompleks terbaru yang mula dibina awal tahun lalu itu, dua lagi sekolah yang sama akan dibina di Setiu dan Marang bagi menjadikan setiap daerah mempunyai sekolah elit berkenaan," katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian hadiah kecemerlangan pelajar Yayasan Terengganu (YT) 2012 peringkat Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 447 pelajar yang cemerlang dalam pelbagai peperiksaan awam peringkat menengah menerima hadiah wang tunai dan sijil penghargaan. Yang turut hadir Pengarah YT, Zakaria Yusof.

SMI diwujudkan bagi memperluas dan mempelbagaikan peluang pendidikan dengan 90 peratus tempat dikhusus kepada anak negeri Terengganu yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di samping 10 peratus kepada anak negeri lain.

Disasarkan untuk mencapai taraf dunia, Imtiaz menjadikan al-Quran sebagai teras pembelajaran dan pendidikan pelajar supaya mampu mengusai pelbagai disiplin ilmu, bahasa dan kemahiran dengan prasarana dan iklim pembelajaran yang kondusif.

Menurut Ahmad, YT selaku pentadbir SMI dalam perancangan untuk menaik taraf sekolah SMI perintis di Kampung Raja, Besut menjadi Sekolah Menengah Imtiaz Antarabangsa.

Katanya, ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai 'Negeri Anjung Ilmu'.

Sumber : Utusan Malaysia 03/01/2013

49,000 cicir ke sekolah bukti pendidikan negara pincang



KUALA LUMPUR 3 Jan: 49,000 kanak-kanak bertaraf warganegara dinafi Umno BN ke sekolah bukti pelaksanaan sistem pendidikan negara pincang, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Menurutnya, jumlah itu lebih tinggi jika digabungkan dengan kanak-kanak di Sabah dan Sarawak.

Sikap tidak bertanggungjawab kerajaan menyebabkan mereka keciciran kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri akibat kelemahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Berdasarkan bancian dan statistik penduduk, dianggarkan lebih daripada 49,000 kanak-kanak di Semenanjung Malaysia yang dinafikan persekolahan. Angka ini menunjukkan krisis utama pendidikan di negara kita.

“Kanak-kanak ini tidak dapat ke sekolah ketika murid-murid lain mendaftar untuk sesi baru persekolahan mereka disebabkan kerana penafian sijil kelahiran atau kad pengenalan,” katanya pada kenyataan.

Tambah rumit, kanak-kanak yang tiada dokumen pengenalan diri berdepan halangan sukar untuk meneruskan persekolahan terutama dari kalangan miskin.

“Manakala kanak-kanak tanpa dokumen yang dibenarkan ke sekolah menghadapi halangan besar kerana dipaksa untuk mendaftar sebagai warga asing dan membayar yuran tambahan.

“Contohnya di Petaling Jaya, sepasang anak yatim, Hari, 12, dan Haran, 14, tidak pernah ke sekolah kerana JPN enggan mengeluarkan MyKad kepada mereka walaupun rumah perlindungannya berusaha untuk mendaftar mereka ke sekolah,” ujarnya.

Tambah Surendran, sikap membisu kerajaan itu menyalahi undang-undang kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“49,000 kanak-kanak ini adalah warganegara mengikut operasi undang-undang menurut kuasa Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

“Mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan melanggar Perlembagaan Persekutuan? Mengapa kanak-kanak dibuat untuk menderita? Najib, Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin dan kerajaan mesti selesaikan krisis ini segera,” tegasnya.

Sumber : Keadilandaily 03/01/2013

Wednesday 2 January 2013

'Jadikan agama-agama di M'sia subjek teras, wajib'



Pada hemat saya, isu pengunaan nama Allah di kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah dipolitikkan dan menemui kebuntuan akibat sikap prejudis pada kedua-dua belah pihak.

Isu tersebut hanyalah simptom kepada akar permasalahan yang lebih besar, iaitu kejahilan di antara penganut agama-agama di Malaysia berkaitan agama lain.

Akibat kejahilan bersama ini, maka timbullah salah faham bersama (mutual misconception) yang pastinya menjadi ruang yang subur untuk prejudis, fitnah dan perselisihan faham.

Maka, saya menyeru agar pihak kementerian pelajaran untuk mengadakan subjek 'Agama-agama di Malaysia' sebagai subjek teras dan wajib ke atas semua pelajar-pelajar di Malaysia.

IPTA dan IPTS juga hendaklah mempunyai subjek tersebut juga sebagai salah satu subjek teras mereka. Begitu juga, subjek agama Islam, perlu dihadiri semua memandangkan Islam merupakan agama rasmi Malaysia yang perlu diketahui oleh setiap rakyatnya.

Saya juga merasakan keperluan untuk setiap ahli politik sama ada dari pihak BN mahupun PR (Pakatan Rakyat) untuk mempunyai integriti moral dan etika yang tinggi untuk tidak menangguk di air yang keruh di atas kejahilan bersama rakyat mengenai agama-agama di Malaysia dan sensitiviti setiap agama untuk mendapatkan miledge politik serta senjata untuk menyerang lawan politik mereka.

Akhir kata, menjadi tanggungjawab setiap warga di Malaysia untuk bersama-sama menghargai kemajmukan masyarakat Malaysia dan ianya wajib disikapi sebagai kekuatan dan bukannya sebagai faktor perbalahan.

Sumber : Malaysiakini 02/01/2013 - Dr. Maszlee Malik

Tiga sekolah masih ditutup di Hulu Terengganu


KUALA TERENGGANU: Tiga sekolah masih ditutup di negeri ini ekoran ditenggelami air sementara 28 lagi yang ditangguhkan penggal persekolahan baharu semalam telah dibuka hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tiga sekolah berkenaan terletak di Hulu Terengganu iaitu Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok.

"Jika keadaan beransur pulih, kesemua sekolah berkenaan akan memulakan sesi persekolahan esok. Cuaca dilihat semakin baik hari ini dan saya harap semua sekolah berkenaan dapat dibuka kembali esok," katanya kepada pemberita semasa melawat seorang murid Tahun 1 yang menghidapi masalah jantung, di Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua sekolah yang ditutup semasa permulaan sesi persekolahan, perlu menggantikannya pada Sabtu ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, didapati para guru, anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat dan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah pada jam 8.30 pagi tadi.

Guru Besarnya, Mohd Hassan Deraman berharap ekoran cuaca baik yang dialami sekarang, sekolah itu dapat dibuka semula esok.

Sumber : Berita Harian 02/01/2013