Followers

Monday 7 January 2013

Pindaan AUKU perlu diperhalusi



TANGGAL 22 November 2012, Mahkamah Persekutuan mencatatkan satu keputusan bersejarah dalam kalendar gerakan mahasiswa apabila Mahkamah Apex dalam negara ini menolak rayuan kerajaan ke atas keputusan empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Mahkamah Rayuan berhubung kebebasan berpolitik mahasiswa dalam seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang bertentangan peruntukan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

Menariknya, dalam alasan penghakiman yang dikemukakan ia disebabkan kerajaan membuat pindaan terhadap peruntukan subseksyen 15 dalam AUKU di Parlimen pada Jun tahun itu bagi membenarkan mahasiswa terbabit dengan politik di luar kampus, sekali gus menjawab persoalan kebebasan berpolitik mahasiswa.

Justeru, Mahkamah Persekutuan mengambil pertimbangan ini bagi menolak rayuan dikemukakan kerajaan.

Dalam membicarakan maksud kebebasan berpolitik mahasiswa, wajar kita mengetahui apa yang dimaksudkan dengan terma hak atau kebebasan berpolitik.
Dr Andrew Harding, pakar perlembagaan Malaysia yang ketika ini Pengarah Pusat Kajian Perundangan Asean di National University of Singapore mentakrifkannya sebagai hak untuk turut serta dalam proses politik selain daripada menerusi peti undi.
Prof Madya Dr Faridah Jalil dari UKM pula menafsirkan skop kebebasan berpolitik ini dijamin di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan memandangkan setiap warganegara yang terbabit dengan politik mestilah mempunyai hak untuk bersuara, berhimpun dan terbabit dengan persatuan. 

Jika disorot susur-galur kebebasan berpolitik mahasiswa di negara ini, kita tidak boleh menafikan mahasiswa di Tanah Melayu pada 1960-an pernah diiktiraf partisipasinya di dalam politik nasional.

Asas ini penting memandangkan Kelab Sosialis dicatat sebagai kelab politik yang pernah dibenarkan wujud sebelum kewujudan AUKU.

Mahasiswa ini hampir tiada suara langsung menyebabkan wujud suara tidak puas hati yang akhirnya memuncak dengan beberapa demonstrasi hingga menyebabkan kerajaan mewujudkan AUKU.

Apabila rang undang-undang AUKU dibentangkan di Parlimen pada 18 Mac 1971, peruntukan seksyen 15 diperuntukkan dengan maksud menghalang badan pelajar mengambil bahagian atau menggabungkan dirinya dengan badan politik.

Bagaimanapun, Datuk Hussein Onn yang membentangkan rang undang-undang ini menyatakan tujuan peruntukan ini tidak menghalang mahasiswa daripada menyampaikan pandangan peribadi mereka berkaitan dengan politik dan pada masa sama menafikan ahli parti politik untuk masuk ke dalam kampus bagi membicarakan isu semasa.

Pada 1975, pindaan yang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Menteri Pelajaran bukan saja merencatkan pembabitan mahasiswa terhadap politik, malah aktivisme juga merosot dan mati, sekali gus merudumkan aktiviti demonstrasi.

Pindaan AUKU 2009 berhasrat membenarkan hak mahasiswa agar diberi kebebasan yang lebih luas untuk berpartisipasi, berpersatuan dan bersuara di samping terbabit dalam struktur dan proses membuat keputusan tertentu di universiti.

Usia AUKU yang akan mencecah 40 tahun dalam sistem pendidikan tinggi negara wajar difikirkan semula. Sepanjang tempoh masa 40 tahun, pelbagai persoalan timbul sama ada mahasiswa kita aktif atau pasif, berfikiran kritis atau tiada idea.

Persoalan AUKU harus dilihat dalam konteks lebih luas dan komprehensif. Ia seiring dengan ucapan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyarankan AUKU dipinda dengan lebih luas dan komprehensif dalam pelbagai wacana dan rundingan meja bulat di dalam meminda seksyen 15 AUKU pada awal 2011.

Penulis sedang melanjutkan pengajian Ijazah Kedoktoran dalam undang-undang Perlembagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : Harian Metro 07/01/2013 - Idzuafi Hadi Kamilan

No comments:

Post a Comment