Followers

Wednesday 9 January 2013

Semua sekolah dibuka semula



RANTAU PANJANG – Kesemua tiga sekolah menengah dan sebuah sekolah di Pasir Mas yang ditutup, setelah dinaiki air serta jalan utama ke sekolah dinaiki air, telah pun dibuka.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, kesemua sekolah terlibat memulakan sesi pembelajaran semalam setelah air di sekolah terlibat mulai surut.

“Kesemua sekolah terlibat banjir memulakan sesi persekolahan setelah air surut dan jalan ke sekolah juga sudah boleh dilalui,” katanya.

Sebelum ini. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan (SABK) Kerajaan Diniah, Bonggor, SABK Al-Falah, Siram dan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang terpaksa di tutup.

Penutupan sekolah ini menyebabkan 1998 pelajar daripada empat sekolah di Pasir Mas tidak dapat ke sekolah.

Hussain sebelum ini, memaklumkan sekolah ditutup akibat banjir perlu menggantikannya sebaik banjir pulih seperti sediakala. Tinjauan mendapati pekarangan sekolah terlibat masih berlumpur, sementara sesi persekolahan di sekolah terlibat berjalan lancar.

Sementara itu seorang bapa, Mohd Asli Adam, 43, dari Kampung Lanchang berkata, hari ini merupakan hari pertama persekolahan anak sulungnya bagi sesi 2013.

Menurutnya, Nurul Zulaika Suhaida, 14, tidak dapat ke sekolah sejak pelajar lain memulakan persekolahan 1 Januari lalu memandangkan sekolah itu tidak dapat dihubungkan dengan kawasan sekitar.

“Saya gembira anak sulung dapat memulakan persekolahan setelah tidak dapat ke sekolah akibat banjir sejak seminggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber : Sinar Harian 09/01/2013

Sisipan eLab, ADaP patuhi Pentaksiran Berasaskan Sekolah



KUALA LUMPUR 7 Jan. - Sisipan pendidikan Utusan Malaysia, eLab dan ADaP bagi edisi tahun ini akan dilengkapi dengan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang mematuhi keperluan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada 2011 dan di sekolah menengah mulai tahun lalu, justeru isi kandungan baharu yang disediakan dalam sisipan pendidikan itu sesuai dijadikan bahan rujukan atau alat bantu mengajar.

Sisipan pendidikan berbahasa Inggeris e-Lab akan diterbitkan pada setiap hari Selasa bermula esok diikuti dengan ADaP sekolah rendah pada Rabu dan ADaP sekolah menengah pula pada Khamis.

Bahan P&P yang disediakan oleh guru pakar dan jurulatih utama dalam sisipan pendidikan itu, menepati keperluan guru dan pelajar khususnya calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Format bahan P&P masih dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris tetapi dipersembahkan secara lebih menarik dan berfokus.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.adap.com.my.


Sumber : Utusan Malaysia 08/01/2013

Tuesday 8 January 2013

Bantu pembelajaran pelajar di luar bandar



PERJALANAN ke Sekolah Kebangsaan Ladang Mutiara (SKLM), Kluang, Johor bukan calang-calang. Jarak antara bandar Kluang ke sekolah yang terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit itu kira-kira 60 kilometer.

Selepas melalui Felda Nitar dengan jalan yang agak baik, laluan tidak berturap terpaksa dilalui. Keadaan jalan yang sempit dan berlubang-lubang pasti menjadi cabaran bukan sedikit.

"Jika hari hujan, jalan berlecak sehingga susah untuk kereta bergerak manakala waktu panas terik pula, keadaan laluan berdebu," kata Hishamuddin Salim, 33, yang telah hampir sedekad berkhidmat sebagai guru di sekolah itu.

Guru-guru SKLM seperti Hishamuddin dan guru besar, Ali Udon, 55, yang tinggal di Kluang atau Kahang terpaksa keluar seawal pukul 6 pagi kerana perjalanan memakan masa lebih sejam.

Hujan lebat bukan sahaja menjadikan jalan berlecak tetapi air kerap naik membanjiri laluan menyebabkan ada guru terhalang untuk datang ke sekolah.

Lebih parah apabila sekolah yang mendapatkan bekalan elektrik menggunakan janakuasa terpaksa belajar tanpa kipas angin kerana bekalan minyak diesel tidak dapat dihantar.

Bagi Shahrul Semangar, 14, kanak-kanak Orang Asli dari Kampung Pucoh wajib bangun seawal pukul 5 pagi, untuk bersiap-siap ke sekolah dengan menaiki van kira-kira pukul 6 pagi dan tiba tepat pukul 7 pagi.

"Di sekolah saya boleh belajar, dapat berjumpa dengan rakan-rakan dan bermain bola sepak bersama-sama kawan-kawan," kata Shahrul ringkas ketika ditemui di SKLM, Kluang awal bulan November lalu.

Shahrul merupakan pelajar pendidikan khas di SKLM bersama Shaharil Rosli, 12, dan adiknya, Rizal, 8, juga berasal dari kampung yang sama.

Adik-beradik itu kelihatan pemalu apabila didekati untuk bertanyakan nama, mereka menjawab dengan suara yang perlahan.

Mereka menjawab soalan dengan cara menggerakkan kepala sama ada menggeleng atau mengangguk. Barangkali, kedua-duanya berasa takut atau malu dengan orang luar.

Pastinya, mereka serta-merta mengangguk kepala apabila ditanya mengenai keseronokan berjumpa dan belajar bersama rakan-rakan di sekolah.

Menurut penyelaras pendidikan khas SKLM, Rosinabi Hussein, 33, rutin harian pelajar pendidikan khas bermula dengan sesi mandi pagi di sekolah.

Terdapat pelajar yang terpaksa bangun seawal 4 pagi untuk ke sekolah. Mereka menempuh perjalanan panjang termasuk merentas kawasan yang mungkin mengotorkan mereka.


SISTEM solar hibrid di Sekolah Kebangsaan Ladang Mutiara, Kluang, Johor dibangunkan dengan kos sebanyak RM3 juta.

Perjalanan jauh itu juga membuatkan mereka berpeluh. Maka, sesi mandi pagi di sekolah perlu sebelum kelas bermula bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan segar.

Kemahiran

Selain pembelajaran akademik, kelas pendidikan khas SKLM turut memberi tunjuk ajar dalam bidang kemahiran seperti perniagaan.

"Pelajar akan membuat dadih sendiri pada setiap hari. Kemudian, mereka akan jual dadih pelajar lain," terang Rosinabi.

Tambahnya, hampir keseluruhan pelajar pendidikan khas di situ seramai sembilan orang terdiri daripada pelajar lembam.

Suasana bilik darjah pendidikan khas berlainan sedikit kerana lebih interaktif dan menarik dengan penggunaan objek serta warna yang pelbagai.

"Komputer barangkali tidak memudahkan proses pembelajaran pelajar tetapi dapat menarik perhatian dan minat mereka untuk belajar," katanya yang dibantu dua orang guru lain dan seorang pembantu pengurusan murid (PPM).

Keperluan bekalan elektrik dalam bidang pendidikan bukan setakat menghidupkan lampu dan memusingkan kipas tetapi alat bantu pembelajaran seperti komputer amat memerlukannya.

Ketika SKLM mula-mula dibuka pada tahun 2000, sekolah tersebut menerima tenaga elektrik dari ladang kelapa sawit berdekatan, jadi bekalan hanya diterima pada waktu pejabat dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Sekolah itu hanya menerima generator sendiri pada tahun 2004 tetapi kata Hishamuddin, elektrik yang dijana tidak stabil dan masalah kehabisan minyak sering berlaku terutamanya apabila laluan masuk dilimpahi air bah.

Gangguan tenaga elektrik merupakan perkara biasa dan paling lama para pelajar SKLM pernah terputus bekalan kira-kira dua minggu disebabkan banjir besar di Johor sedikit masa
lalu.

TNB Energy Services Sdn. Bhd. akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan setiap tiga bulan sekali.

Apabila penalaan komponen penukar arus terus kepada arus ulang-alik generator, rectifier tiba-tiba menjadi huru-hara, maka lebihan beban bekalan berlaku menyebabkan komputer, mentol dan banyak lagi barangan elektrik rosak.

Hishamuddin yang mengajar di situ sejak tahun 2004 sudah masak dengan masalah bekalan elektrik yang sering mengganggu proses pembelajaran.

Paling menjadi masalah apabila hendak menjalankan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ia melibatkan banyak alat bantu mengajar dalam bentuk cakera padat, komputer dan projektor.

"Bateri komputer riba diberikan kepada guru-guru yang tinggal di Kluang untuk dicas. Cikgu pula akan mengajar menggunakan skrin komputer yang kecil untuk dikongsi dengan murid-murid," kenang Hishamuddin apabila bekalan elektrik terputus dalam tempoh panjang.

Kata lelaki yang berasal dari Felda Nitar itu, terdapat inisiatif membekalkan tenaga solar pada tahun 2005 tetapi pada pendapatnya gagal kerana bekalan elektrik yang dibekalkan terlalu sedikit.

Bilangan panel solar antara tiga hingga empat keping, cukup sekadar menghidupkan tiga buah komputer pada waktu matahari bersinar sahaja.

Kini, dia amat bersyukur kerana SKLM sudah dilengkapi Sistem Solar Hibrid pada 15 Jun 2011 sekali gus sekolah yang menempatkan pelajar seramai 143 orang itu sudah boleh menerima bekalan elektrik selama 24 jam tanpa gangguan.

Solar hibrid merupakan projek di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang dibangunkan dan diselenggara oleh syarikat subsidiari Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Energy Services Sdn. Bhd. (TNBES).

Bencana alam

Solar hibrid di SKLM siap dengan kos kira-kira RM4 juta. Ia memakan masa setahun lapan bulan untuk disiapkan kerana lokasi yang jauh dan sering terputus hubungan akibat bencana alam.

Sistem solar hibrid beroperasi dengan kombinasi solar panel dan generator serta dikawal menggunakan Sistem Pemantauan Jarak Jauh.

Elektrik yang dijana melalui panel solar digunakan pada waktu siang dan lebihan disimpan dalam bateri untuk digunakan kala tiada sinaran matahari.

Jika berlaku kehabisan bekalan elektrik dalam bateri, generator akan berfungsi serta-merta supaya bekalan elektrik dapat dibekalkan setiap masa.

Solar hibrid menjana tenaga elektrik menggunakan nisbah 70 peratus daripada panel solar dan 30 peratus lagi dijana oleh generator serta dikendali secara automatik tanpa pengawasan pengendali.

Sistem solar hibrid merupakan kaedah yang terbaik dalam membekalkan tenaga elektrik ke kawasan pedalaman seperti SKLM kerana penggunaan generator sahaja meningkatkan risiko kerap terputus bekalan elektrik selain kehabisan diesel.

"Grid penghantaran elektrik lebih baik dan menjimatkan tetapi ia bergantung pada bilangan penduduk di sesebuah kawasan.

"Kos bagi setiap 1 kilometer grid elektrik sekitar RM1 juta dan jarak antara jalan besar ke sekolah ini lebih kurang 50 hingga 60 kilometer manakala populasi penduduk tidak mencapai jumlah minimum untuk memasang grid," kata Pengarah Urusan TNBES, Shahrir Abdul Latiff ketika ditemui di sekolah itu.


SUASANA bilik darjah pendidikan khas sedikit berbeza kerana lebih interaktif dan penggunaan objek dengan warna yang pelbagai.

TNBES akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan setiap tiga bulan sekali dengan beberapa pasukan turun ke SKLM bagi menjalankan pemeriksaan ringkas selain menambah diesel.

Tangki minyak generator direka bagi menampung kapasiti sepanjang tempoh tiada sesi penyelenggaraan.

Selain SKLM, terdapat lebih 18 buah sekolah lagi di Johor, Pahang, Kelantan dan Perak yang berada di kawasan pedalaman dapat berasa kenikmatan sama seperti sekolah di Ladang Mutiara.

Penyelesaian alternatif solar hibrid di SKLM itu turut memenangi Anugerah Tenaga ASEAN 2012 (AEA2012) bagi kategori Off Grid Generation sempena Forum Perniagaan Tenaga Asean (AEBF) di Kemboja.

Sumber : Kosmo 08/01/2013

Jangan naikkan tambang bas sekolah sesuka hati



KUALA LUMPUR - Para pengusaha bas sekolah di seluruh negara diminta berunding dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terlebih dulu sekiranya berhasrat untuk menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan tahun 2013.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pengusaha bas harus mengikut peraturan yang ditetapkan oleh SPAD dan tidak menaikkan tambang sewenang-wenangnya tanpa mendapat persetujuan SPAD.

"Sekiranya mereka (pengusaha bas) masih berdegil dan menaikkan tambang tanpa persetujuan SPAD, maka ibu bapa wajib segera melaporkan perkara ini kepada SPAD atau pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil terhadap mereka," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media baru-baru ini mengenai dakwaan ibu bapa pelajar sekolah bahawa ada segelintir pengusaha bas sekolah khususnya di Lembah Klang telah menaikkan tambang pada tahun ini.


Sumber : Kosmo 08/01/2013

Monday 7 January 2013

Guru Pasti P Pinang terima sumbangan awal tahun


BUKIT MERTAJAM: Guru Pusat AsuhanTunas Islam (Pasti) seluruh Pulau Pinang dianugerahkan RM600 seorang sebagai bonus awal tahun 2013.

Justeru, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Yusni Mat Piah berkata, pihaknya merasa sangat bertuah kerana mempunyai guru Pasti yang cukup kental walaupun diduga dengan kesukaran ekoran kekurangan kelengkapan pengajaran.

“Semoga dengan pemberian wang dari Pasti dan Dewan Pemuda PAS negeri bernilai RM150 ribu itu dapat membantu serta menyemarakkan lagi semangat kerja dalam pasukan.

"Guru Pasti harga yang bernilai bagi PAS. Tanpa pengorbanan mereka anak kita tidak mengenali apa itu awalan Islam," tegasnya ketika berucap pada majlis yang diadakan di Kompleks An-Nadhoh, Penanti semalam.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah Pasti negeri, Nazarudin Awang Hamat dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Afnan Hamimi Taib Azamudin.

Guru Pasti yang ditemui rata-rata gembira dengan pemberian itu dan bertekad meneruskan usaha murni memberikan pembelajaran kepada anak bangsa.

Sarimah Ibrahim dari Pasti Kubang Semang, Permatang Pauh berkata, pemberian itu menyuntik semangatnya untuk bertugas dengan lebih tekun lagi pada tahun ini.

Walaupun pemberian itu bukan sandaran, ujarnya namun dapat memberikan harapan baru bahawa guru Pasti tidak diketepikan.

Hasnah Hasan yang bertugas di Pasti An-Najmie, Pongsu Seribu menyifatkan pemberian itu dapat membantu para guru Pasti menyediakan peralatan persekolahan anak-anak.

Pemberian itu juga kata beliau yang bertugas selama 13 tahun, memberi kekuatan kepada guru Pasti untuk bersama-sama memajukan Pasti masing-masing pada tahun ini.

Sumber : Harakahdaily 07/01/2013

Pindaan AUKU perlu diperhalusi



TANGGAL 22 November 2012, Mahkamah Persekutuan mencatatkan satu keputusan bersejarah dalam kalendar gerakan mahasiswa apabila Mahkamah Apex dalam negara ini menolak rayuan kerajaan ke atas keputusan empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Mahkamah Rayuan berhubung kebebasan berpolitik mahasiswa dalam seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang bertentangan peruntukan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

Menariknya, dalam alasan penghakiman yang dikemukakan ia disebabkan kerajaan membuat pindaan terhadap peruntukan subseksyen 15 dalam AUKU di Parlimen pada Jun tahun itu bagi membenarkan mahasiswa terbabit dengan politik di luar kampus, sekali gus menjawab persoalan kebebasan berpolitik mahasiswa.

Justeru, Mahkamah Persekutuan mengambil pertimbangan ini bagi menolak rayuan dikemukakan kerajaan.

Dalam membicarakan maksud kebebasan berpolitik mahasiswa, wajar kita mengetahui apa yang dimaksudkan dengan terma hak atau kebebasan berpolitik.
Dr Andrew Harding, pakar perlembagaan Malaysia yang ketika ini Pengarah Pusat Kajian Perundangan Asean di National University of Singapore mentakrifkannya sebagai hak untuk turut serta dalam proses politik selain daripada menerusi peti undi.
Prof Madya Dr Faridah Jalil dari UKM pula menafsirkan skop kebebasan berpolitik ini dijamin di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan memandangkan setiap warganegara yang terbabit dengan politik mestilah mempunyai hak untuk bersuara, berhimpun dan terbabit dengan persatuan. 

Jika disorot susur-galur kebebasan berpolitik mahasiswa di negara ini, kita tidak boleh menafikan mahasiswa di Tanah Melayu pada 1960-an pernah diiktiraf partisipasinya di dalam politik nasional.

Asas ini penting memandangkan Kelab Sosialis dicatat sebagai kelab politik yang pernah dibenarkan wujud sebelum kewujudan AUKU.

Mahasiswa ini hampir tiada suara langsung menyebabkan wujud suara tidak puas hati yang akhirnya memuncak dengan beberapa demonstrasi hingga menyebabkan kerajaan mewujudkan AUKU.

Apabila rang undang-undang AUKU dibentangkan di Parlimen pada 18 Mac 1971, peruntukan seksyen 15 diperuntukkan dengan maksud menghalang badan pelajar mengambil bahagian atau menggabungkan dirinya dengan badan politik.

Bagaimanapun, Datuk Hussein Onn yang membentangkan rang undang-undang ini menyatakan tujuan peruntukan ini tidak menghalang mahasiswa daripada menyampaikan pandangan peribadi mereka berkaitan dengan politik dan pada masa sama menafikan ahli parti politik untuk masuk ke dalam kampus bagi membicarakan isu semasa.

Pada 1975, pindaan yang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Menteri Pelajaran bukan saja merencatkan pembabitan mahasiswa terhadap politik, malah aktivisme juga merosot dan mati, sekali gus merudumkan aktiviti demonstrasi.

Pindaan AUKU 2009 berhasrat membenarkan hak mahasiswa agar diberi kebebasan yang lebih luas untuk berpartisipasi, berpersatuan dan bersuara di samping terbabit dalam struktur dan proses membuat keputusan tertentu di universiti.

Usia AUKU yang akan mencecah 40 tahun dalam sistem pendidikan tinggi negara wajar difikirkan semula. Sepanjang tempoh masa 40 tahun, pelbagai persoalan timbul sama ada mahasiswa kita aktif atau pasif, berfikiran kritis atau tiada idea.

Persoalan AUKU harus dilihat dalam konteks lebih luas dan komprehensif. Ia seiring dengan ucapan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyarankan AUKU dipinda dengan lebih luas dan komprehensif dalam pelbagai wacana dan rundingan meja bulat di dalam meminda seksyen 15 AUKU pada awal 2011.

Penulis sedang melanjutkan pengajian Ijazah Kedoktoran dalam undang-undang Perlembagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : Harian Metro 07/01/2013 - Idzuafi Hadi Kamilan

Pertingkat kemahiran



Kekangan kewangan selalu menjadi peng­halang kebanyakan pe­lajar melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Namun, ramai akur bahawa hanya melalui pening­katan tahap akademik, seseorang individu mampu memiliki masa depan yang lebih cerah dan terjamin.
Faktor ini turut didukung salah sebuah institusi pendidikan kemahiran yang memiliki pengalaman melebihi 11 tahun iaitu Pusat Bertauliah Institut Generasi. 

Institut ini terletak di lokasi strategik di tengah bandar raya Kuala Lumpur (hanya seminit berjalan kaki dari stesen LRT/Star Masjid Jamek KL).

Bagi memberi peluang lebih ramai pelajar berkaliber mencorakkan masa depan lebih cemerlang, institut itu menawarkan tajaan biasiswa pengajian sehingga RM15,000 kepada mereka yang layak.
Tawaran biasiswa itu ba­gi memberikan sokongan ke­wangan kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan mempunyai impian bagi memiliki Diploma Kemahiran Malaysia. 

Mereka yang berminat boleh hadir untuk taklimat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Antara syarat umum ialah berusia antara 17 tahun hingga 30 tahun, tamat persekolahan tingkatan lima atau mempunyai pengalaman bekerja selama setahun dan berpendapatan seisi keluarga tidak melebihi RM4,000 sebulan.

Pelajar yang menunggu keputusan SPM dan STPM layak memohon.

Individu yang berminat perlu membuat tempahan awal bagi menghadiri sesi taklimat ini.

Bagi yang masih mencari bidang pendidikan berpotensi untuk peluang masa depan yang terjamin, lengkapkan diri dengan mengikuti Diploma Kemahiran Malaysia di Pusat Bertauliah Institut Generasi.

Sejajar dengan perkembangan pekerjaan dalam bi­dang Teknologi Maklumat & Pengurusan, Malaysia me­merlukan sokongan birokrat atau pengurusan profesional.

Individu yang memiliki idaman kerjaya profesional di pejabat perlulah bersiap sedia bagi menghadapi cabaran globalisasi ini.

Jika mahu memastikan masa hadapan pada tahap cemerlang, melanjutkan pengajian dalam bidang Kesetiausahaan & Pengurusan Korporat dan juga bidang Pengaturcaraan & Sistem Analisis pasti menjadi penyelesai kepada pencarian anda.

Bidang Kesetiausahaan & Pengurusan Korporat adalah bidang kerjaya yang sentiasa mempunyai permintaan di kalangan majikan.

Golongan individu sama ada yang berkerjaya dalam bidang pejabat atau ingin mencari peluang kerjaya dalam sektor pengurusan, amat bersesuaian memilih bidang Kesetiausahaan dan Pengurusan Korporat sebagai platform mereka.

Menerusi program ini, anda akan dibentuk bagi memiliki tahap kemahiran yang sewajarnya agar dapat memiliki platform kerjaya yang cemerlang dan profesional.

Konsep pembelajaran yang ditawarkan berpandukan 80 peratus kemahiran dan dapat memberikan pelajar pendedahan kepada pelbagai jenis kemahiran seperti mempertingkatkan skil menaip, mentadbir dan menggunakan komputer secara cekap, mengambil catatan minit mesyuarat dalam bentuk ringkas dan pantas, menguruskan pejabat dan menguruskan pentadbiran peringkat atasan dengan yakin.

Bagi golongan individu yang ingin mengejar kenaikan jawatan di bidang ICT atau bercita-cita mencipta karier sebagai seorang programmer, program Pengaturcaraan & Sistem Analisis dibangunkan khusus untuk anda.

Modul pembelajaran yang diterapkan adalah 100 peratus menumpukan kepada aspek praktikal dan pembelajaran dalam makmal bagi melahirkan seorang pengaturcara yang mahir dan pakar dalam bidang pengaturcaraan laman web.

Antara matapelajaran yang didedahkan kepada pelajar adalah Pengaturcaraan Berasaskan Objek seperti PHP Programming, HTML, CSS, Javascript dan SQL Database.

Mereka didedahkan pengetahuan asas mengenai komputer dan ICT yang turut didedahkan dalam mata pelajaran Teknologi Maklumat, Pengurusan Sistem Maklumat dan Internet Marketing.

Jika berminat mendapatkan tajaan biasiswa bagi program Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Kesetiausahaan dan Pengurusan Korporat, Pengaturcaraan & Sistem Analisis, anda boleh hadir untuk sesi taklimat khas pada 11 Januari 2012 (Jumaat) atau 12 Januari 2012 (Sabtu) pada jam 11 pagi.

Tempahan bagi menghadiri taklimat ini perlu dibuat menerusi sistem perkhidmatan SMS iaitu & ke talian 017-6863074 atau menghubungi Pusat Bertauliah Institut Generasi di talian 03-20704081.

Taklimat akan diadakan di kampus induk Pusat Bertauliah Institut Generasi di 51-53 Jalan Leboh Ampang, Kuala Lumpur.

Sumber : Harian Metro 07/01/2013