Followers

Saturday 5 January 2013

Rayu kaji kadar tambang bas sekolah



Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPPBSM) yang mewakili 14,000 ahli seluruh negara merayu kerajaan mengkaji semula kadar tambang atas alasan peningkatan kos operasi.

Untuk tujuan itu, GPPBSM mahu mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.

Setiausaha Agungnya, Md Saad Mohamad, berkata rayuan kesatuan untuk menaikkan tambang bukan bertujuan membebankan ibu bapa, sebaliknya hampir keseluruhan pengusaha bas sekolah kini berhadapan kenaikan kos penyelenggaraan kenderaan.

Kali terakhir kadar tambang dinaikkan ialah pada 2009 dan kini kita merasakan sudah tiba masanya tambang dikaji semula," Md Saad Mohamad, Setiausaha Agung GPPBSM
“Kali terakhir kadar tambang dinaikkan ialah pada 2009 dan kini kita merasakan sudah tiba masanya ini (tambang) dikaji semula memandangkan harga tayar dan bateri juga semakin meningkat.

Pertimbang rayuan

“Kami amat berharap SPAD akan mempertimbangkan rayuan GPPBSM, malah kami juga akan mengadakan pertemuan bersama mereka (SPAD) dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada BH, semalam.

Kelmarin, ibu bapa melahirkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pengusaha bas sekolah khususnya di Lembah Klang yang didakwa menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan 2013.
Bercanggah peraturan

Mereka menyifatkan tindakan itu bukan saja bercanggah dengan peraturan SPAD, malah turut membebankan ibu bapa terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Md Saad berkata, dalam pertemuan bersama SPAD, pihaknya kemungkinan mencadangkan supaya tambang bas sekolah bandar dan luar bandar diselaraskan kepada RM30 sebulan, berbanding ketika ini RM27.43 (bandar) dan RM20.61 (luar bandar).

“Ketika ini tiada pengusaha bas sekolah dibenarkan menaikkan harga tambang memandangkan tiada sebarang persetujuan daripada pihak kerajaan, bagaimanapun kita memandang serius sekiranya ada di antara ahli kami berbuat demikian,” katanya.

Sumber : Berita Harian 06/01/2013

No comments:

Post a Comment