Followers

Saturday 5 January 2013

Muhyiddin umum pembinaan sekolah menengah di Proton City



TANJUNG MALIM: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan di bandar automotif Proton City di sini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, pembinaan sekolah berkapasiti
1,200 pelajar dengan kos RM40 juta, yang dijadual bermula tahun depan itu mengambil masa kira-kira dua tahun setengah untuk disiapkan. 

"Jika perancangan pembangunan Tanjung Malim sebagai bandar automotif diteruskan, ia harus selari dengan pembangunan bandar yang teratur,
infrastruktur mencukupi bagi penduduk, khususnya mereka yang tinggal di Tanjung
Malim dan Behrang.

"Untuk itu, pengurusan DRB-Hicom dan Proton sudah berbincang dengan Kementerian Pelajaran untuk bina sebuah sekolah menengah di sini untuk keperluan anak-anak pekerjanya.

"Sukacita saya maklumkan Kementerian Pelajaran sudah menimbang dan bersetuju luluskan dalam pelan persiapan pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan di
sini dengan kos RM40 juta," katanya ketika berucap pada majlis pertemuan dan
makan tengah hari bersama warga kerja Proton di Proton City.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi
Eksekutif Proton, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Bercakap di hadapan kira-kira 2,000 jemputan termasuk 1,500 kakitangan
Proton, Muhyiddin berkata, pembinaan sekolah itu akan menyelesaikan masalah
penduduk dan anak-anak kakitangan Proton untuk meneruskan persekolahan yang mana
kini mereka terpaksa berulang alik sejauh 10 kilometer untuk ke sekolah menengah
berhampiran di Tanjung Malim.

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk melengkapkan lagi pembangunan kawasan
Selatan Perak itu, kerajaan pusat juga akan menyediakan peruntukan RM2.5 juta
untuk membina sebuah sekolah agama.

"Dengan pembangunan yang pesat dan pertambahan penduduk, kerajaan harap inisiatif dan pengumuman baru ini akan memastikan visi menjadikan Proton City
sebagai bandar automotif bertaraf global dapat dicapai dalam tempoh lima tahun
akan datang," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN)
menghadiri mesyuarat tertutup bersama BN Perak di Kompleks Sukan Proton City
yang dihadiri antaranya Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor; Zambry selaku Pengerusi BN negeri, timbalannya, Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah.

Mesyuarat tertutup selama dua jam itu turut disertai Timbalan Pengerusi MCA
Perak, Datuk Seri Kong Cho Ha; Pengerusi MIC, Datuk Seri G Palanivel; Pengerusi
GERAKAN, Datuk Seri Chang Ko Youn dan Pengerusi PPP, Datuk Seri Dr M Kayveas.

Sumber : Berita Harian 05/01/2013

No comments:

Post a Comment