Followers

Wednesday 2 January 2013

Tiga sekolah masih ditutup di Hulu Terengganu


KUALA TERENGGANU: Tiga sekolah masih ditutup di negeri ini ekoran ditenggelami air sementara 28 lagi yang ditangguhkan penggal persekolahan baharu semalam telah dibuka hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tiga sekolah berkenaan terletak di Hulu Terengganu iaitu Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok.

"Jika keadaan beransur pulih, kesemua sekolah berkenaan akan memulakan sesi persekolahan esok. Cuaca dilihat semakin baik hari ini dan saya harap semua sekolah berkenaan dapat dibuka kembali esok," katanya kepada pemberita semasa melawat seorang murid Tahun 1 yang menghidapi masalah jantung, di Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua sekolah yang ditutup semasa permulaan sesi persekolahan, perlu menggantikannya pada Sabtu ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, didapati para guru, anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat dan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah pada jam 8.30 pagi tadi.

Guru Besarnya, Mohd Hassan Deraman berharap ekoran cuaca baik yang dialami sekarang, sekolah itu dapat dibuka semula esok.

Sumber : Berita Harian 02/01/2013

No comments:

Post a Comment