Followers

Saturday 29 December 2012

Bantuan khas sekolah diagih mulai 15 Januari


Kuala Lumpur: Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 yang diumumkan dalam Bajet 2013 akan diagihkan kepada ibu bapa secara berperingkat mulai 15 Januari hingga 15 Februari depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed, berkata pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan layak untuk mendapat bantuan itu.

“Bantuan itu untuk mengurangkan bebanan perbelanjaan ibu bapa bagi membeli kelengkapan persekolahan disalurkan menerusi Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah masing-masing.

“Bagi sekolah yang tiada akaun, ia disalurkan menerusi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD),” katanya dalam Surat Siaran yang dipetik daripada laman sesawang Kementerian Pelajaran.

Seramai 5.4 juta pelajar akan menerima manfaat bantuan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2013.

Bulan depan juga Baucer Buku 1Malaysia mula diedarkan kepada 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar Tingkatan Enam.

Baucer itu meningkat kepada RM250, berbanding RM200, tahun lalu dan tuntutan boleh dibuat sehingga 30 April depan.

Sumber : Berita Harian 29/12/2012

14,000 peminjam PTPTN nikmati diskaun 20 peratus


KUALA LUMPUR: Seramai 13,900 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tampil menyelesaikan pinjaman pembiayaan pendidikan PTPTN bagi menikmati tawaran diskaun sebanyak 20 peratus seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Razak. 

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata jumlah itu direkodkan bagi tempoh 1 Oktober sehingga 15 Disember lalu membabitkan jumlah pembiayaan sebanyak RM47.94 juta manakala jumlah bayaran balik yang diterima adalah RM38.36 juta. 

Katanya, jumlah diskaun pengurangan bayaran balik adalah sebanyak RM9.59 juta itu dianggap sebagai hadiah kepada peminjam PTPTN serta galakan supaya peminjam tampil membuat pembayaran. 

"Diskaun 20 peratus itu diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan hutang secara sekali gus dalam tempoh 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Ismail berkata, daripada 13,900 peminjam yang membuat bayaran balik secara sekali gus itu, seramai 629 adalah peminjam yang disenarai hitam dengan jumlah pembiayaan pendidikan sebanyak RM4.07 juta. 

"PTPTN sebelum ini mengumumkan bahawa golongan ini layak menikmati diskaun 20 peratus sebagai satu langkah realistik yang membuka ruang kepada mereka untuk melunaskan pinjaman," katanya. 

Beliau berkata, PTPTN turut memberikan diskaun sebanyak 10 peratus kepada peminjam yang membuat ansuran bayaran balik mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan PTPTN iaitu selama 12 bulan berturut-turut atau 12 bulan ke hadapan bermula 1 Oktober lalu.

Dalam Belanjawan 2013 yang dibentangkan September lalu, Perdana Menteri mengumumkan diskaun 20 peratus bagi mereka yang membayar jumlah pinjaman tertunggak sepenuhnya sebelum 30 Sept tahun depan. 

Mereka yang gagal membayar selepas tarikh akhir tetapi berusaha membayar pinjaman mereka pada masanya untuk tempoh 12 bulan juga layak mendapat diskaun 10 peratus.

Tambah beliau, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2013 juga, PTPTN memberi kelonggaran pertukaran ujrah sehingga hujung bulan ini kepada semua peminjam termasuk peminjam yang disenarai hitam. 

"PTPTN menyeru supaya peminjam PTPTN yang disenarai hitam tampil berunding dengan PTPTN dan tidak melepaskan peluang untuk menikmati insentif yang disediakan itu," katanya. 

Media sebelum ini melaporkan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan mengumumkan bahawa PTPTN menawarkan kepada peminjam yang disenarai hitam atau disaman membuat pertukaran ujrah bermula 17 Oktober lalu. 

Sistem ujrah yang menawarkan upah satu peratus setahun atas kadar rata adalah kaedah pembiayaan berlandaskan prinsip syariah bertujuan mengurangkan beban peminjam yang selama ini gagal menyelesaikan pinjaman pembiayaan pendidikan. 

Katanya, setiap peminjam yang tampil ke PTPTN akan diberikan surat tawaran yang perlu diisi dengan maklumat terkini dan diserahkan semula ke PTPTN dalam masa 90 hari dari tarikh surat tawaran diperoleh. 

"Kaedah ini memberi peluang kepada golongan berkenaan menstruktur semula pembayaran balik pinjaman melalui kaedah ujrah atau mengikut kadar yang mereka mampu," kata Ismail. 

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga 30 November lalu, seramai 18,098 peminjam mendapat Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian Kelas Pertama atau setaraf dengannya yang membabitkan jumlah pembiayaan sebanyak RM503.34 juta.

Sumber : Berita Harian 29/12/2012

Friday 28 December 2012

Sedia kaji imbuhan khas guru, pensyarah




Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran sedia mengkaji saranan memberi imbuhan khas termasuk kenaikan gaji kepada 30,000 guru dan pensyarah di sekolah, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) yang mempunyai ijazah lanjutan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian akan terus berusaha memperbaiki laluan kerjaya guru supaya dilihat lebih menarik setimpal dengan bebanan tugas mereka.

Ambil berat kebajikan 

Katanya, kementeriannya juga tidak pernah mengabaikan dan sentiasa menitik berat kebajikan guru di atas sumbangan besar mereka sebagai warga pendidik.

Kelulusan bergantung JPA

Bagaimanapun katanya, sebarang kelulusan bergantung kepada persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbendaharaan kerana ia membabitkan kewangan kerajaan.

Kementerian sedia kaji saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan itu. NUTP boleh mengemukakan cadangan lebih konkrit untuk kajian, katanya. 

Semalam, Presiden NUTP, Hashim Adnan meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan memberi imbuhan dengan memberi kenaikan dua tangga gaji kepada lulusan ijazah lanjutan dan tiga tangga gaji bagi pemegang doktor falsafah (PhD).

Katanya, ini berikutan ramai guru dan pensyarah menyahut seruan kementerian untuk memperoleh ijazah lanjutan, demi transformasi pendidikan negara.

Sumber: Berita Harian 25/12/2012