Followers

Wednesday 2 January 2013

'Jadikan agama-agama di M'sia subjek teras, wajib'



Pada hemat saya, isu pengunaan nama Allah di kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah dipolitikkan dan menemui kebuntuan akibat sikap prejudis pada kedua-dua belah pihak.

Isu tersebut hanyalah simptom kepada akar permasalahan yang lebih besar, iaitu kejahilan di antara penganut agama-agama di Malaysia berkaitan agama lain.

Akibat kejahilan bersama ini, maka timbullah salah faham bersama (mutual misconception) yang pastinya menjadi ruang yang subur untuk prejudis, fitnah dan perselisihan faham.

Maka, saya menyeru agar pihak kementerian pelajaran untuk mengadakan subjek 'Agama-agama di Malaysia' sebagai subjek teras dan wajib ke atas semua pelajar-pelajar di Malaysia.

IPTA dan IPTS juga hendaklah mempunyai subjek tersebut juga sebagai salah satu subjek teras mereka. Begitu juga, subjek agama Islam, perlu dihadiri semua memandangkan Islam merupakan agama rasmi Malaysia yang perlu diketahui oleh setiap rakyatnya.

Saya juga merasakan keperluan untuk setiap ahli politik sama ada dari pihak BN mahupun PR (Pakatan Rakyat) untuk mempunyai integriti moral dan etika yang tinggi untuk tidak menangguk di air yang keruh di atas kejahilan bersama rakyat mengenai agama-agama di Malaysia dan sensitiviti setiap agama untuk mendapatkan miledge politik serta senjata untuk menyerang lawan politik mereka.

Akhir kata, menjadi tanggungjawab setiap warga di Malaysia untuk bersama-sama menghargai kemajmukan masyarakat Malaysia dan ianya wajib disikapi sebagai kekuatan dan bukannya sebagai faktor perbalahan.

Sumber : Malaysiakini 02/01/2013 - Dr. Maszlee Malik

No comments:

Post a Comment