Followers

Friday 4 January 2013

Ibu bapa kecewa tambang bas sekolah naik



Kuala Lumpur: Golongan ibu bapa kecewa dengan tindakan segelintir pengusaha bas sekolah khususnya di Lembah Klang yang didakwa menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan 2013.

Mereka menyifatkan tindakan sedemikian bukan saja bercanggah dengan peraturan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), malah turut membebankan ibu bapa terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Linda, 40, dari Bangi berkata, beliau yang sebelum ini membayar RM30 bagi tambang bas sekolah anaknya, kini dikenakan RM40, walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan mengenainya.

Saya amat terkejut apabila pengusaha bas sekolah memaklumkan bahawa mulai sesi persekolahan ini saya perlu membayar tambang bas sekolah anak RM40 dan berasa hairan kerana tiada sebarang pengumuman mengenai kenaikan tambang (bas sekolah).

Pengusaha bas sekolah memberi alasan mereka terpaksa menaikkan (tambang) disebabkan kenaikan harga alat ganti kenderaan, selain kos operasi turut meningkat dari semasa ke semasa, katanya, semalam.

Hajaz Ahmad, 41, dari Alam Damai, Cheras berkata, pada hari pertama persekolahan pengusaha bas sekolah sudah memaklumkan kepadanya mengenai kenaikan harga tambang dalam tempoh terdekat ini.

Pengusaha sudah pun memberi notis memaklumkan mengenai kadar tambang baru membabitkan kenaikan antara RM5 hingga RM10 dalam tempoh terdekat ini..., ketika ini saya membayar tambang RM55, katanya.
Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPPBSM) yang mewakili kira-kira 14,000 ahli seluruh negara menafikan berlaku kenaikan tambang bagi sesi persekolahan ini.

Setiausaha Agungnya, Md Saad Mohamad berkata, disebabkan tiada sebarang pengumuman rasmi daripada SPAD, maka pengusaha bas sekolah tidak dibenarkan menaikkan harga tambang.

Pada masa sama, pihak kami turut bimbang terhadap perkhidmatan van sapu yang beroperasi sebagai bas sekolah haram, terutama di Lembah Klang yang kadang kala mengenakan kadar tambang tinggi, katanya.

Sumber : Berita Harian 05/01/2013

No comments:

Post a Comment